Majlis Khas MA63 Wujudkan Tiga Jawatankuasa Kerja Tangani Isu Hak-Hak Sabah Dan Sarawak

JUMAAT, 2 APRIL 2021

KUCHING: Majlis Khas Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) telah mewujudkan tiga jawatankuasa kerja untuk mengesyorkan  cadangan penyelesaian isu-isu spesifik berkaitan perundangan bagi rakan sekutu, keselamatan negeri dan sosioekonomi selaras dengan hak-hak Sabah dan Sarawak dalam kerangka perundangan negara.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata pengwujudan tiga jawatankuasa tersebut iaitu Jawatankuasa Kerja Rakan Sekutu, Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri Sabah dan Sarawak dan Jawatankuasa Kerja Sosioekonomi diputuskan semasa mesyuarat pertama majlis khas itu pada 2 Disember 2020. 

Katanya, terdapat beberapa cadangan yang melibatkan pindaan Perlembagaan Persekutuan mengenai hak Sabah dan Sarawak yang telah diteliti oleh Jawatankuasa Kerja Rakan Sekutu.

Jelas beliau, perkara-perkara yang berkaitan dengan hal ehwal imigresen, pendaftaran negara, kawalan sempadan, pendatang asing tanpa izin dan pencerobohan nelayan asing dalam Zon Ekonomi Eksklusif telah dibincangkan oleh Jawatankuasa Kerja Keselamatan Sabah dan Sarawak.

“Selain itu, hal-hal yang berkaitan dengan pembangunan sosioekonomi Sarawak seperti isu kemiskinan, infrastruktur jalan raya, infrastruktur kesihatan, infrastruktur pendidikan, capaian internet dan telekomunikasi, duti setem yang dikenakan ke atas suratcara pindah milik, caj dan sewaan tanah di bawah Ordinan Tanah Sarawak dan pemberian khas kepada Sarawak di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan juga telah dibincangkan oleh Jawatankuasa Kerja Sosio-ekonomi.

“Insya-Allah, ketiga-tiga Jawatankuasa Kerja ini akan membentangkan laporan serta syor-syor mengenai perkara-perkara yang dibincangkan di peringkat jawatankuasa untuk diputuskan dalam Mesyuarat Majlis Khas MA63 yang akan saya pengerusikan pada minggu hadapan,” katanya semasa berucap pada Majlis Jamuan Negeri di Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Khamis.

Perdana Menteri dalam pada itu memberi jaminan semua tuntutan Sarawak akan dipertimbangkan secara adil dan saksama selaras dengan Perlembagaan Persekutuan dan semangat Perjanjian Malaysia 1963.

Tambahnya, perhatian khusus akan diberikan kepada Sabah dan Sarawak kerana mahu melihat jurang pembangunan yang wujud di mana-mana wilayah di negara ini dapat diatasi melalui aspirasi dan perancangan di bawah Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030.

Terdahulu, Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg dalam ucapannya menyatakan Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan terus menyokong penuh pentadbiran Tan Sri Muhyiddin.

Menurut Ketua Menteri, Sarawak mahukan kerajaan yang stabil dan pentadbiran Tan Sri Muhyiddin terbukti membawa kestabilan dalam negara dengan pelbagai dasar dilaksanakannya untuk membantu rakyat serta mengatasi masalah disebabkan pandemik COVID-19.

Datuk Patinggi Abang Zohari berkata kerajaan negeri juga akan menyelesaikan sebarang masalah berlaku dalam Sarawak mengikut caranya sendiri.

Hadir sama pada majlis tersebut isteri Perdana Menteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman, isteri Ketua Menteri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang, barisan Menteri Kabinet Negeri  dan dif-dif kenamaan. – EDISI UKAS

Share

add comment