Perdana Menteri Luang Masa Ziarah Penduduk Di Kampung Sindang Baru

JUMAAT, 2 APRIL 2021

KOTA SAMARAHAN: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyddin Yassin meneruskan lawatan kerja pada Jumaat dengan menziarahi kediaman beberapa orang penduduk Kampung Sindang Baru, Kota Samarahan bersempena Program Ziarah Prihatin.

Dalam program tersebut, beliau telah meluangkan masa menziarahi dua buah rumah penduduk dan menyerahkan bantuan kepada mereka serta menyantuni bekas penghulu kampung tersebut, Sajili Busrah.

Hadir sama Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, Isteri Perdana Menteri, Datin Patinggi Puan Sri Noorainee Abdul Rahman, Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Menteri Kebajikan Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah dan Ahli Parlimen Kota Samarahan, Rubiah Wang.

Salah seorang penduduk kampung yang diziarahi, Selha Slet, ketika ditemubual wartawan UKAS berkata, beliau rasa bersyukur kerana dilawati oleh Perdana Menteri dan juga berterima kasih atas sumbangan yang diberikan.

Manakala, Aris Johari yang turut diziarahi oleh Tan Sri Muhyiddin dan rombongan turut merakamkan penghargaan atas sumbangan yang diberikan dan berbangga atas lawatan Perdana Menteri ke rumahnya.-EDISI UKAS

Share

add comment