PM Bersarapan Nikmati Mi Kolok Haji Salleh

JUMAAT, 1 APRIL 2021

KUCHING: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri Puan Sri Noorainie Abdul Rahman meluangkan masa kira-kira 30 minit berkunjung dan bersarapan sambil menikmati mi kolok Haji Salleh yang popular di Sepinang Sari Café di Jalan Satok di sini pada Jumaat.

Kehadiran Perdana Menteri kira-kira pukul 7.30 pagi bersarapan bersama Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg telah menarik perhatian ramai pengunjung di situ.

Turut hadir mengiringi rombongan tersebut ialah Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Menteri Kanan Kerja Raya, Dato Sri Fadillah Yusof, Menteri Muda Utiliti (Bekalan Air), Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak, Dato Sri Mohamad Abu Bakar Marzuki serta tetamu kehormat yang lain.

Sementara itu, pemilik Sepinang Sari Café, Haji Salleh Reduan teruja dengan kehadiran Perdana Menteri yang sudi berkunjung dan bersarapan di kedainya.

“Saya berasa bangga kerana Perdana Menteri telah datang ke negeri kita dan singgah makan ke kedai makan ini,” katanya.

Terdahulu, Mi Kolok Haji Salleh ini telah dipetik oleh Perdana Menteri dalam perutusan khas beliau untuk menjadi salah satu daripada contoh dalam Pakej Prihatin PKS pada April 2020. -EDISI UKAS