Sarawak Begitu Istimewa Dan Luar Biasa: Tan Sri Muhyiddin Yassin

JUMAAT, 2 APRIL 2021

KOTA SAMARAHAN: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengakui Sarawak amat istimewa dan luar biasa setiap kali apabila beliau bertandang ke Bumi Kenyalang.

Berucap semasa Majlis Perjumpaan bersama Pemimpin Masyarakat di Institut Pendidikan Guru Kampus Tun Abdul Razak, Kota Samarahan pada Jumaat, beliau sering tersentuh hati dengan keistimewaan yang ada pada para pemimpin negeri dan rakyat Sarawak.

Malah jelas beliau, dalam lawatan kerja rasmi kali ini, ia umpama seperti ‘balik ke kampung sendiri’

“Sejak saya sampai ke Sarawak semalam dan sehingga hari ini, saya merasa suatu perasaan yang agak luar biasa kerana sejak saya hadir di beberapa acara yang telah disusun, saya telah berjumpa dengan pelbagai lapisan masyarakat.

“Jadi, memang benarlah apa yang saya sebut dalam satu majlis bahawa datang ke Sarawak macam balik ke kampung sendiri, ia sangat istimewa,” katanya.

Hadir sama dalam majlis tersebut adalah isteri beliau, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman, Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah, Menteri Kebajikan Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah, Ahli Parlimen Kota Samarahan, Rubiah Wang, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak (Transformasi Sosio-Ekonomi Sarawak), Dato Sri Mohamad Abu Bakar Marzuki serta tetamu kehormat lain.

Dalam pada itu, Perdana Menteri juga tersentuh hati dengan sokongan yang diberikan kerajaan Sarawak di bawah Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang diterajui Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg.

Jelasnya, sokongan padu yang diberikan oleh GPS amat dihargai kerana terus memberi sokongan kepada beliau menerajui kepimpinan negara.

“Dan lebih-lebih lagi, hati saya tersentuh kerana beliau (Datuk Patinggi Abang Zohari) menyatakan GPS di bawah kepimpinan akan terus memberi sokongan kepada saya sebagai ketua kerajaan di peringkat pusat, terima kasih yang amat-amat saya hargai,” ujarnya lagi.

Dalam ucapan sama, Perdana Menteri sekali lagi mengakui beliau tersentuh dengan doa seorang bekas penghulu yang uzur ketika beliau mengunjungi warga emas tersebut dalam program Ziarah Kasih di Kampung Sindang.

“Beliau merupakan bekas penghulu dan dalam ceritanya saya cukup tersentuh kerana mendoakan agar apa usaha yang saya mulakan itu hendaklah diteruskan.

“Kemudian beliau membaca doa dan saya bersama Ketua Menteri mengaminkan doa, doa rakyat biasa kepada pemimpin ini luar biasa, kita juga pemimpin di atas juga mendoakan rakyat supaya sentiasa berada dalam keadaan yang baik,” katanya. -EDISI UKAS

Share

add comment