Vaksin: 1.2 Juta Rakyat Sarawak Telah Daftar

SABTU, 3 APRIL 2021

BETONG: Seramai 1.2 juta rakyat Sarawak telah mendaftar untuk mendapatkan vaksin COVID-19 setakat Jumaat.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, jumlah tersebut termasuk dilakukan melalui MySejahtera dan secara manual.

“Semalam (Jumaat) seramai 1.2 juta rakyat Sarawak yang layak telah pun mendaftar.

“Jumlah ini termasuk 650,000 mendaftar melalui MySejahtera dan 750,000 dilakukan secara manual,” katanya kepada media selepas melakukan tinjauan ke lokasi Program Imunisasi COVID-19 di Dewan Rentap, Betong pada Sabtu.

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Saribas, Mohammad Razi Sitam dan ADUN Beting Maro, Razaili Gapor.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak berkata, Sarawak kini telah bersedia untuk melancarkan program tersebut.

“Kita melihat seluruh bahagian telah melakukan persiapan dengan menyediakan tempat pemberian vaksin dan juga petugas-petugas yang akan melakukan proses pemvaksinan nanti.

“Kini kita hanya menunggu ketibaan vaksin untuk fasa seterusnya tiba di Sarawak,” katanya sambil menambah terdapat 2,422 petugas barisan hadapan di bahagian Betong telah mendapat suntikan vaksin COVID-19 untuk dos pertama.

Dalam pada itu, Datuk Amar Douglas menggesa penduduk khususnya di luar bandar yang belum mendaftar untuk bertindak sedemikian dengan segera.

Beliau juga memohon syarikat yang beroperasi di negeri ini memberi senarai nama pekerja selewatnya-lewatnya 12 April 2021.

Beliau meneruskan lawatan kerja ke Masjid Darul Syifa, di Spaoh dengan menyerahkan cek bernilai RM500,000 daripada Ketua Menteri Sarawak kepada jawatankuasa pengurusan masjid tersebut.

Datuk Amar Douglas yang juga ADUN Bukit Saban turut meninjau keadaan kerosakan ban di Kampung Hilir, Spaoh dan meluluskan peruntukan RM50,000 untuk melaksanakan projek pintu air.

Beliau kemudian meninjau perkembangan projek Kompleks Sukan Spaoh yang bernilai RM11 juta. -EDISI UKAS

Share

add comment