COVID-19: Sarawak Rekod 290 Kes Baharu, Kluster Kampung Binyu Diisytiharkan

SABTU, 3 APRIL 2021

KUCHING: Sarawak merekodkan sebanyak 290 kes baharu COVID-19 menjadikan jumlah keseluruhan meningkat kepada 17,135 kes.

Dalam kenyataan media yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) pada Sabtu, Daerah Kuching mencatatkan kes tertinggi iaitu (86), diikuti Bintulu (81), Miri (36), Sibu (22), Serian (20), Samarahan (7), Kapit (6), Subis (6), Julau (5), Bukit Mabong (4), Meradong (3), Marudi (3), Sarikei (2), Selangau (2), Sri Aman (2), Tebedu (2), Tanjung Manis (1), Tatau (1), dan Belaga (1).

JPBNS turut memaklumkan satu kes kematian turut direkod menjadikan jumlah kematian akibat jangkitan COVID-19 telah meningkat kepada seramai 113 orang.

Kes kematian itu melibatkan seorang lelaki tempatan berumur 50 tahun yang telah ditemui tidak sedarkan diri oleh ahli keluarga di rumah  dan dibawa terus ke Jabatan Kecemasan Hospital Bintulu oleh keluarga.

Tambah kenyataan itu juga, Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak telah mengisytiharkan satu lagi kluster baharu di Daerah Kuching iaitu Kluster Kampung Binyu.

Kluster Kampung Binyu adalah kluster komuniti yang dikesan melibatkan majlis perkahwinan di Kampung Binyu, Jalan Tanjung Bako.

Sementara itu turut dimaklumkan, Daerah Belaga dan Daerah Mabong kini berstatus kuning.-EDISI UKAS

Share

add comment