Jabatan Pertanian Bantu Baiki Tinggikan Ban Kolam Dan Input Baja Milik Penduduk Di Kampung Entagis

SABTU, 3 APRIL 2021

LIMBANG: Kejadian banjir yang berlaku baru-baru ini telah menyebabkan kerosakan pada kolam milik Biti Chundau di Kampung Entagis.

Menteri Muda Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Sarawak Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata, kerosakan itu telah menyebabkan kerosakan pada kolam dan apabila banjir ikan lepas disebabkan masalah kurangnya pembentungan.

“Kita telah bersetuju melalui Jabatan Pertanian untuk memperbaiki kolam mereka dengan meninggikan ban supaya apabila berlakunya banjir kolam itu tidak ditenggelami dan akan mengelakkan lepasnya ikan-ikan itu dengan begitu banyak.

“Kolam tersebut agak besar juga boleh menempatkan 2,000 ekor pelbagai jenis ikan seperti ikan tilapia, sultan, keli dan lain-lain yang mana mempunyai pasaran yang begitu baik dengan harga yang memuaskan lingkungan RM15 hingga RM18 satu kilo untuk pasaran tempatan,” katanya. 

Beliau berkata demikian semasa ditemui selepas mengadakan lawatan ke Projek Ternakan Ikan Air Tawar di Kampung Entagis pada Rabu. 

Datuk Dr Abdul Rahman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota turut melawat ke Projek Tanaman Durian milik Sugi Sata dan Projek Nanas MD2 milik Bakit Sata di Kampung Lubok Simpur yang selama ini mereka belum menerima bantuan daripada Jabatan Pertanian.

“Di kawasan Kampung Lubok Simpur kita melawat kebun durian dan kebun nanas. Di sana ada dua orang petani yang komited mengusahakan tanah mereka.

“Jadi kita bersetuju untuk memberikan bantuan pada tahun ini apa yang kita namakan Farm Input berjumlah RM1,000 bagi satu unit.

“Ianya dalam bentuk input seperti baja untuk membantu mereka ini,” tambahnya. 

Turut sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau Paulus Palu Gumbang, Pegawai Pertanian (Pengembangan) Amirul Fikri Jemali, Penolong Pegawai Pertanian Daerah Limbang Christopher Dawat Anur dan Pengerusi Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Limbang Tr Ugak Sanggau. -EDISI UKAS

Share

add comment