SABTU, 3 APRIL 2021
MIRI: Majlis Bandaraya Miri (MBM) dengan kerjasama Pusat Khidmat SUPP Cawangan Riam telah menubuhkan kaunter bergerak bagi memperhebatkan kempen pendaftaran Program Imunisasi Vaksin COVID-19 di Miri.
Menteri Pengangkutan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin Datuk Lee Kim Shin berkata, ini bagi menyokong usaha kerajaan agar semua rakyat mendapat vaksin COVID-19.
“Setakat ini, Bahagian Miri hanya mencapai 50 peratus sasaran golongan yang layak mendaftar imunisasi ini.
“Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Miri berharap pendaftaran vaksin COVID-19 ini mencapai sekurang-kurangnya 70 peratus untuk golongan layak,” katanya semasa ditemui selepas mengadakan lawatan ke Kaunter Bergerak Jawatankuasa MBM bagi membantu mendaftar Vaksin COVID-19 Tamu Mosjaya Miri pada Sabtu.
Datuk Lee yang juga Menteri Bertanggungjawab JPBB Miri menambah, semua ini memerlukan kerjasama penuh daripada rakyat untuk segera daftar suntikan vaksin COVID-19 ini.
Katanya lagi, pendaftaran ini penting untuk menyalurkan maklumat dan data jumlah penerima yang layak bagi tujuan melancarkan proses penyediaan jumlah vaksin yang mencukupi.
Hadir sama Datuk Bandaraya Miri Adam Yii dan Ahli Majlis Bandaraya Miri Kaunselor Kueh Chie Tiong. -EDISI UKAS