Mahu Jadikan Kampung Pundut Pengeluar Pisang Terbesar Di Daerah Limbang – Datuk Dr Abdul Rahman

SABTU, 3 APRIL 2021

LIMBANG: Masih ada peserta yang masih belum mengamalkan sistem penanaman yang baik bagi tanaman pisang. 

Menteri Muda Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Sarawak Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata, beliau telah meminta Jabatan Pertanian untuk memantau projek ini dan memberi segala bantuan teknikal serta khidmat nasihat untuk penaman yang lebih sesuai.

“Pertama, saya lihat masih ada yang belum mengamalkan sistem penanaman yang baik di sana.

“Kedua, saya telah meminta Jabatan Pertanian untuk berhubung dengan Jabatan Pengairan dan Saliran (DID) untuk menambah baik saliran di sana di Kampung Pundut.

“Dan, ketiganya kita hendak menjadikan kawasan tersebut antara pengeluar pisang yang besar di daerah Limbang. 

“Kita juga mempunyai perancangan untuk membesarkan kawasan tersebut, sekarang ini hanya melibatkan 33 orang peserta dan ada lagi lebih kurang 20 orang yang berminat di sana,” katanya. 

Beliau berkata demikian semasa ditemui selepas mengadakan lawatan ke Projek Tanaman Pisang Secara Berkelompok di Kampung Pundut, Limbang pada Rabu.

Seramai 33 orang peserta di bawah Program Agriculture Facilitation Fund (AFF) 2019 telah menerima bantuan berjumlah RM234,000 bagi projek tanaman pisang secara berkelompok input seperti baja, mesin rumput, alat penyembur baja dan racun.

Datuk Dr Abdul Rahman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota turut melawat Projek Tanaman Durian Integrasi Dengan Ternakan Lembu milik Jerry Siran di Kampung Bukit Impas dan Projek Tanaman Daun Nyirik milik Puan Jelina Tua di Kampung Bangkuati.

Katanya, pada 2017 projek perintis di Limbang ini menghadapi pelbagai cabaran tetapi dengan kecekalan saudara Jerry projek intergrasi ini dapat dijalankan, lembu sudah mampu melahirkan anak dan kaedaannya sangat stabil. 

“Saya yakin selepas ini lembu-lembu ini akan dapat ditingkatkan hasilnya dan projek pawah ni kita pinjamkan kepada peserta dan kita bagi masa untuk mereka membayar balik ‘one to one’, kalau kita pinjamkan meraka 25 ekor, mereka kena bagi balik 25 ekor tanpa dikena faedah.

“Kita akan minta anak kemudian kita akan pinjamkan kepada peserta lain begitulah sistem pawah. 

“Berbanding dahulu kita beri penternak menggunakan harga subsidi tetapi tidak begitu berjaya kerana ada penternak apabila kita bagi harga subsidi esok lusa mereka jual harga biasa, keuntungan sekelip mata,” ujarnya lagi. 

Turut sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau Paulus Palu Gumbang, Pegawai Pertanian (Pengembangan) Amirul Fikri Jemali, Penolong Pegawai Pertanian Daerah Limbang Christopher Dawat Anur dan Pengerusi Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Limbang Tr Ugak Sanggau. -EDISI UKAS

Share

add comment