Pembukaan Sesi Persekolahan Bersemuka Di Daerah Miri Bermula 5 April 2021

SABTU, 3 APRIL 2021

MIRI: Pembukaan sesi persekolahan bersemuka di Daerah Miri bermula 5 April ini. 

Menteri Bertanggungjawab Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Miri Datuk Lee Kim Shin dalam kenyataan media pada Jumaat berkata, ini selepas mendengar taklimat secara terperinci daripada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Miri dan laporan-laporan daripada Pejabat Kesihatan Bahagian Miri dan Hospital Miri. 

“Perbandingan kes positif di Daerah Miri pada minggu lepas mengikut laporan ialah 111 kes iaitu menurun berbanding 209 kes dalam tempoh lima hari yang dilaporkan pada 17 Mac 2021. 

“Kelmarin (Khamis), saya pun ada menghubungi Pengarah Pendidikan Sarawak bagi membincangkan mengenai aspek Prosedur Operasi Standard (SOP) COVID-19 bagi sekolah yang mesti dipertingkatkan khususnya membabitkan pembukaan sekolah-sekolah dalam Zon Merah.

“Pada hari ini (Jumaat), PPD Miri telah memnbentangkan tiga model pengoperasian sekolah yang akan dilaksanakan dalam pembukaan sesi persekolahan,” katanya. 

Jelasnya lagi, bagi sekolah yang mempunyai bilangan pelajar yang besar atau pun Enrolmen Tinggi (ET) akan beroperasi mengikut Model 3 iaitu berdasarkan sistem penggiliran. 

Terdahulu, tiga model pengoperasian sekolah telah dibentangkan oleh PPD Miri iaitu Model 1: Persekolahan Satu Sesi; Model 2: Persekolahan Dua Sesi dan Model 3: Persekolahan Penggiliran. 

“SOP yang terperinci termasuklah aspek ketibaan dan penyuraian pelajar sekolah yang digariskan PPD Miri ini membolehkan sekolah-sekolah di daerah Miri dibuka memandangkan pengoperasian sekolah di sini telah ditangguhkan selama dua minggu dan diikuti cuti sekolah selama seminggu,” jelasnya. 

Sementara itu, Datuk Lee yang juga Menteri Pengangkutan Sarawak turut memberitahu Pegawai Pendidikan Daerah Miri, Mariam Monek memberikan jaminan bahawa, PPD Miri akan mengingatkan semua Pengetua dan Guru Besar untuk menyebar luas maklumat Pengoperasian Sekolah dan Model Penyuraian Sekolah. -EDISI UKAS

Share

add comment