AHAD, 4 APRIL 2021
DARO: Seramai 108 petugas barisan hadapan menerima suntikan pertama vaksin COVID-19 jenis Pfizer-BioNTech di Klinik Kesihatan Sementara Daro pada Ahad.
Turut menerima suntikan Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi.
Ketika ditemuramah UKAS, Ahmad Johnie mengingatkan orang ramai di Daro untuk tidak takut menerima suntikan kerana ia penting untuk melindungi diri dan orang ramai.
“Hari ini sahaja saya dimaklumkan seramai 108 menerima vaksin. Hospital Daro telah melaksanakan vaksinasi lebih kurang 300 orang individu.
“Saya telah dimaklumkan oleh doktor tadi sepanjang vaksinasi ini tidak ada kesan sampingan yang menyebabkan mereka datang ke hospital.
“Saya memberi saranan kepada orang di luar sana, jangan takut untuk mendapatkan vaksin kerana ini adalah satu keperluan untuk melindungi kesihatan komuniti kita,” katanya.
Beliau juga menyeru orang ramai untuk tidak percaya dengan persepsi tidak benar mengenai vaksin tersebut.
Sementara itu, Pegawai Tadbir Pejabat Daerah Daro, Jeana Robert yang turut menerima suntikan menggesa masyarakat di Daro untuk mendaftar bagi menerima suntikan.
Katanya, selain melalui MySejahtera, pendaftaran juga boleh dilakukan secara manual di mana-mana Pejabat Daerah yang terdekat.
Ahmad Johnie juga sempat meninjau keperluan ruang menunggu di klinik sementara ini yang perlu dinaik taraf.
Beliau juga bersetuju menyumbangkan pembinaan struktur tetap bagi kegunaan ruang menunggu berserta 150 buah kerusi dan 10 buah meja. – EDISI UKAS