135 Keluarga Di Kampung Gong Lama Dan Baru Terima Bantuan Bekalan Makanan

AHAD, 4 APRIL 2021

SIBURAN: Seramai 135 keluarga di Kampung Gong Lama dan Baru yang kini menjalani Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) menerima bantuan bungkusan makanan kering, susu dan lampin pakai buang.

Menteri Muda Pengangkutan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mambong, Datuk Dr Jerip Susil memberitahu, bantuan tersebut adalah bantuan tambahan kepada bantuan yang diberikan sebelum ini.

“Sebelum ini pihak kami juga telah menghantar bantuan lampin pakai buang dan susu kepada 21 orang penerima di Kampung Batu Gong Lama bagi fasa pertama dan fasa kedua kepada 24 orang penerima di Kampung Batu Gong Baru

“Hari ini juga sebanyak 135 bungkusan makanan juga akan diberikan dan diagihkan oleh pihak Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) kepada penduduk,” katanya semasa melakukan tinjauan di Bilik Gerakan PKPD, Batu Gong, Siburan pada Sabtu.

Selain itu, beliau turut menyeru penduduk untuk sentiasa berjaga-jaga dan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi mengekang penularan wabak COVID-19 susulan terdapat 69 kes positif dikesan selepas saringan ujian swab pertama dijalankan di situ. -EDISI UKAS

Share

add comment