Khidmat Ketua Kampung Dinilai Berdasarkan Prestasi

AHAD, 4 APRIL 2021

BAU: Jawatan ketua kampung bukan satu jawatan yang kekal dan tidak ditentukan oleh wakil rakyat selepas tamat tempoh penggal perkhidmatan mereka.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tasik Biru, Dato Henry Harry Jinep berkata, perkhidmatan seseorang ketua kampung itu akan disambungkan perkhidmatannya setelah dinilai prestasi mereka.

Menurutnya, prestasi itu dinilai berdasarkan rekod daripada Pejabat Daerah dan Pejabat Residen seperti mengadakan mesyuarat kampung, mesyuarat Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), kehadiran ke pejabat daerah, dan penghantaran laporan.

“Perkhidmatan sebagai jawatan ketua kampung tidak kekal kerana ia dinilai oleh prestasi ketua kampung itu sendiri, bukannya ditentukan oleh wakil rakyat,” katanya dalam ucapan semasa Majlis Penyerahan Tugas Ketua Kaum Kampung Suba Buan di Dewan Serbaguna Kampung Suba Buan pada Sabtu.

Dalam pada itu, beliau memuji sikap mantan Ketua Kaum Kampung Suba Buan, Latip Nyaim yang sukarela melepaskan jawatannya kerana hendak menumpukan sepenuh masa sebagai seorang kontraktor.

Sementara itu, beliau memberitahu, Sekolah Kebangsaan (SK) Suba Buan yang telah diluluskan untuk dipindah dan dibina di lokasi baharu.

“Majlis pecah tanah rrojek bina SK Suba Buan yang baharu ini dijangka dirasmikan oleh Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Sarawak, Datuk Amar Michael Manyin Jawong pada 28 April ini,” jelasnya. -EDISI UKAS

Share

add comment