Majlis Sosial Hanya Dibenarkan Di Daerah Berstatus Hijau Dan Kuning

AHAD, 4 APRIL 2021

KUCHING: Setiap Ketua Kaum atau Ketua Masyarakat adalah disarankan untuk memaklumkan terlebih dahulu kepada pihak pejabat Daerah yang berdekatan sekiranya ingin mengadakan majlis di kawasan masing-masing.

Timbalan Ketua Menteri merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, hal yang demikian memandangkan sebahagian besar daripada kes positif komuniti di Sarawak adalah melalui majlis sosial

“Ini adalah supaya pihak pejabat daerah dapat membantu menyediakan SOP penganjuran majlis yang telah dikuatkuasakan” katanya dalam sidang media di Kuching pada Ahad.

Tambah Datuk Amar Douglas lagi, penganjuran Majlis Sosial seperti kenduri-kendara, upacara pernikahan (akad nikah) dan lain-lain hanya dibenarkan bagi Zon yang berstatus hijau atau kuning, dengan tidak melebihi 50 peratus.

Manakala bagi kawasan merah dan jingga, penganjuran majlis sosial adalah tidak dibenarkan. -EDISI UKAS