AHAD, 4 APRIL 2021
BAU: Projek Kolam Komuniti mampu menjana pendapatan tambahan bagi penduduk setempat yang terlibat dalam penternakan ikan dalam kolam.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tasik Biru, Dato Henry Harry Jinep berkata, beliau berpuas hati dengan projek kolam komuniti di Kampung Suba Bau yang mampu meraih pendapatan sehingga RM3,000 sejak diusahakan pada tahun lepas.
Jelasnya, beliau akan menambah 12 sangkar ikan termasuk satu unit enjin bot kepada para peserta yang terlibat.
Semasa menyampaikan amanat ringkas semasa mengadakan lawatan ke Projek kolam komuniti di Kampung Suba Bau pada Sabtu, beliau menambah, peruntukan bagi projek penanaman Pisang Kapok juga telah diluluskan kerajaan Sarawak.
Katanya, setakat ini seramai 25 orang peserta dari kampung Suba Bau dan Suba Bandar telah menyertainya membabitkan keluasan 25 ekar dengan peruntukan RM4,000 setiap ekar.
Sementara itu, Pengerusi Kolam Komuniti Kampung Suba Bandar, Ahyong Jinot, ketika ditemui berkata, mereka telah mampu meraih jualan sebanyak RM3,000 untuk 2,000 ekor ikan yang telah dituai.
Katanya, kejayaan projek kolam itu adalah hasil daripada ADUN Tasik Biru yang membantu dari segi penyediaan sangkar, anak ikan dan baja.
Turut hadir, Pegawai Daerah Bau Anielia Siam, Ketua Kaum Kampung Suba Bau, Ini Jitep dan Ketua Kaum Kampung Suba Bandar, William Morfor. -EDISI UKAS