Tapak Kekal Pasar Tani Daro Dalam Perancangan

AHAD, 4 APRIL 2021

DARO: Usaha sedang dilaksanakan untuk menempatkan Pasar Tani Daro ke satu tapak kekal yang lebih selesa dan dilengkapi dengan pelbagai kemudahan.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Safiee Ahmad, beliau telah berbincang dengan pihak Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Negeri Sarawak untuk mendapatkan tapak kekal bagi peserta pasar tani selepas melihat sambutan positif di tapak pasar tani sedia ada.

“Saya dan Ahli Parlimen akan berbincang mengenai keperluan ini dan kita juga akan dapatkan maklum balas dan nasihat dan juga pandangan dari pihak FAMA Negeri bagaimana kita boleh bersama-sama mengusahakan keperluan ini apabila kita mempunyai satu tapak pasar tani yang kekal.

“Kita dapat sediakan kemudahan-kemudahan yang diperlukan agar ia memberi keselesaan bukan sahaja kepada para peserta pasar tani malah pengunjung-pengunjung,” katanya kepada UKAS semasa melawat Pasar Tani Daro pada Ahad.

Dalam pada itu, Safiee berkata Majlis Daerah Matu dan Daro (MDMD) telah mempertimbangkan permohonan untuk menempatkan peserta pasar tani di tapak yang lebih luas susulan permintaan memberangsangkan dari para peniaga.

Tambah beliau, Medan Selera telah pun siap dan akan beroperasi.

Selain itu katanya, kerajaan melalui Kementerian Usahawan bersetuju untuk membina Anjung Usahawan di kawasan Daro.

Manakala New township Fasa 2 juga akan turut dibina melalui Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (LCDA), tambah Safiee lagi.

Pada lawatan itu, Safiee menyumbang sebanyak 40 unit kanopi dan 10 meja lipat kepada peserta pasar tani.

Manakala Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi menyumbang sebanyak RM4,000 kepada Jawatankuasa Pasar Tani.

Turut disampaikan Kad Kenyalang Gold kepada Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK). – EDISI UKAS

Share

add comment