Jangan Tular Berita Tidak Benar Mengenai Vaksin COVID-19

ISNIN, 5 APRIL 2021

MUKAH: Orang ramai khasnya di Bahagian Mukah diingat untuk tidak menyebarkan berita tidak benar mengenai vaksin COVID-19.

ADUN Balingian, Abdul Yakub Arbi menegaskan perbuatan tidak bertanggungjawab itu dikhuatiri akan menakut-nakutkan penduduk untuk mengambil vaksin berkenaan.

Katanya, orang ramai tidak perlu takut kerana pengambilan vaksin itu tidak menyebabkan sebarang alahan yang membimbangkan.

“Untuk saudara kita di luar sana, yang belum mendaftar untuk vaksin, daftar diri dan jangan takut. Dari kajian Kementerian Kesihatan Malaysia, tidak ada alahan yang betul-betul mencurigakan selepas menerima vaksin ini.

“Jadi kalau ada yang tidak betul diluar sana, tolong jangan viral. Sebab ini akan menakut-nakutkan rakyat di kawasan kita. Saya sendiri pun sudah. Alhamdulillah, tidak ada rasa apa-apa,” katanya selepas menerima suntikan dos pertama vaksin itu di Dewan Suarah Mukah pada Ahad.

Beliau kemudian meninjau simulasi yang dilaksanakan oleh Jawatankuasa Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) Daerah Mukah.

Sejak pembukaan CITF Daerah Mukah pada 31 Mac 2021 sehingga 4 April 2021, seramai 318 orang telah menerima vaksin dos pertama.

Sementara itu, Pegawai Kesihatan Bahagian Mukah, Dr Huzaimah Husin ketika ditemui berkata fasa kedua pemberian vaksin kepada golongan berisiko tinggi iaitu warga emas dan dewasa dengan komorbid dijangka akan bermula pada pertengahan April ini.

Tambah beliau, pihaknya mensasarkan seramai 400 divaksinasi sehari di Dewan Suarah Mesra Mukah.

Mengenai latihan simulasi tersebut, beliau berkata ianya diadakan untuk menilai, mengenalpasti kelemahan dan menambahbaik pengurusan dalam proses pemberian vaksin COVID-19 bagi penerima Fasa 2 untuk warga emas dan komorbid. – EDISI UKAS