JBALB Diminta Naik Taraf Semula 7 Buah Tangki Di Loji Rawatan Kampung Limpaku Pinang

ISNIN, 5 APRIL 2021

LIMBANG: Loji Rawatan Air di Kampung Limpaku Pinang ini bukanlah satu projek baru kerana ianya telah dibina pada tahun 2010 dan baru-baru ini telah mengalami masalah. 

Menurut Timbalan Menteri Pengangkutan Malaysia merangkap Ahli Parlimen Limbang Datuk Hasbi Habibollah, loji ini mempunyai 9 buah tangki besar, tetapi dalam skop baik pulih tersebut tidak semua tangki ini dapat dibaik pulih. 

Bagaimanapun, Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) memberitahu hanya dua buah tangki besar di bawah kolam air ini yang dibaiki.

“Sebenarnya, ada 7 buah tangki lagi di bawah itu yang belum dibaiki. Jadi, saya minta kepada kerajaan khususnya Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) untuk memohon peruntukan kepada Ibu Pejabat. 

“7 buah tangki di bawah itu sepatutnya dibaiki juga kerana ianya masih bagus. Semua tangki di bawah tu menggunakan poly tank tahan lasak tidak berkarat.

“Saya berharap agar ianya dibaiki supaya ruang untuk sumber air tu menjadi banyak dan Kampung Limpaku tidak akan terputus bekalan air,” katanya semasa ditemui media selepas mengadakan lawatan ke Kampung Limpaku Pinang pada Ahad. 

Dalam lawatan itu, Datuk Hasbi telah menyerahkan cek berjumlah RM25,000 dari kerajaan Persekutuan kepada Ketua Kampung Limpaku Pinang untuk penambahbaikan Dewan Kampung Limpaku Pinang.

Datuk Hasbi yang juga Ahli Parlimen Limbang memberitahu banyak projek lain yang akan dilaksanakan di bawah NRDA di kampung ini seperti jeti konkrit dan sebagainya untuk mengindahkan Kampung Limpaku ini. 

“Inshallah, satu hari nanti kampung ini akan menjadi tarikan pelancong.

“Dua minggu lepas Menteri Pelancongan Malaysia Dato’ Sri Nancy ada melawat ke sini dan beliau berpuas hati dengan produk pelancongan yang ada di Limbang.

“Cuma, ketika ini, bagaimana kita hendak mempromosi dan memasarkan produk-produk pelancongan ini,” ujarnya. 

Selepas melawat loji rawatan air beliau kemudiannya melawat Dewan Kampung Limpaku Pinang dan meninjau rumah-rumah yang telah dibaiki dan akan dibaiki melalui peruntukan MRP-PPRMS Ahli Parlimen Limbang.

Hadir sama wakil Residen Bahagian Limbang Ayunni Tamimi, Pegawai Daerah Limbang Superi Awang Said, Jurutera Air Bahagian Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Limbang Frezzal Faisal, Pengurus Wilayah SEB Limbang Awang Iderus Awang Rambli, Pegawai Majlis Daerah Limbang Diana Essa dan Ketua Kampung Limpaku Pinang Simatzaman Sapar. -EDISI UKAS

Share

add comment