Kerajaan Negeri Akan Perluas Skim Pembesaran Kampung

ISNIN, 5 APRIL 2021

KUCHING: Kerajaan Negeri akan memperluaskan Skim Pembesaran Kampung (SPK) sebagai usaha untuk mentransformasikan taraf hidup penduduk di kampung.

Menurut Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, kerajaan akan menyediakan tapak tanah termasuk infrastruktur asas seperti jalan raya, parit konkrit, bekalan api dan air di kampung-kampung yang akan dibangunkan.

Katanya, Kerajaan Negeri akan menanggung kesemua kos pembangunan infrastruktur berkenaan.

“Kita sediakan tapak tanah dan juga infra seperti jalan raya, parit konkrit, bekalan api dan air ke kampung-kampung yang hendak kita bangunkan. Bermakna secara langsung dan tidak langsung, kita mentransformasikan cara hidup orang kampung.

“Ini dapat kita laksanakan kerana saya percaya kalau kita ada rezeki kita kongsi dengan rakyat,” jelas Ketua Menteri semasa semasa berucap pada Majlis Perjumpaan Bersama Pegawai Land And Survey Sarawak di Kuching pada Isnin.

Menurut Ketua Menteri lagi, kawasan perkampungan yang akan diperbesarkan itu juga termasuk rumah-rumah panjang.

Sementara itu, Datuk Patinggi Abang Zohari memuji komitmen Jabatan Tanah dan Survei (JTS) dengan berjaya menyukat sejumlah 40,111 hektar tanah NCR untuk perimeter tanah NCR dan 12,322 hektar tanah bagi pengukuran lot individu pada tahun lepas walaupun berdepan kekangan akibat penularan wabak COVID-19.

Menurutnya, inisiatif JTS dengan memperkenalkan perkhidmatan urusan tanah melalui platform secara dalam talian iaitu Land and Survey Information System (e-LASIS) turut membanggakan Sarawak apabila ia mendapat pengiktirafan dalam negara.

“E-LASIS ini sudah menjadi model dan contoh kepada seluruh negara Malaysia.

“Ini adalah satu pencapaian yang tinggi dan saya difahamkan rakan-rakan kita di Semenanjung mengambil ini sebagai contoh dan teknologinya adalah yang terkini di mana melaluinya kita dapat maklumat-maklumat terkini berkenaan tanah,” tambah beliau.

Pada majlis itu, Ketua Menteri turut melancarkan Buku Metamorfosis Evolusi Kualiti dan Inovasi Jabatan Tanah Dan Survei Sarawak.

Beliau turut menyampaikan anugerah khas kepada Kumpulan Lands Tahai-Q yang memenangi Anugerah Emas dan Anugerah Khas Japan Intellectual Property Association dan Kumpulan Innotech Q9 yang memenangi Anugerah Perak pada Malaysia Technology Expo (MTE) 2021.

Turut disampaikan penghargaan khas kepada pasukan Editorial Serian.

Hadir sama Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak Datuk Amar Jaul Samion, Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Datu Len Talif Salleh, Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Bandar dan Sumber Asli Datu Sr Zaidi Mahdi dan Pengarah JTS Abdullah Julaihi. – EDISI UKAS