TTG Akan Diperluas, Sedia Kemudahan Untuk Gelandangan

ISNIN, 5 APRIL 2021

SIBU: Penubuhan Tempat Transit Gelandangan (TTG) akan diperluaskan di bandaraya Kuching, Miri dan bandar Bintulu sebagai usaha menyediakan kemudahan kepada golongan gelandangan.

Menteri Kebajikan,Kesejahteraan komuniti Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak (KWKPK) Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, TTG menyediakan kemudahan transit sebagai tempat menumpang dan khidmat bersepadu bagi saringan kesihatan.

“Selain itu, TTG juga berperanan sebagai rujukan kepada agensi berkaitan,” katanya semasa meninjau kerja-kerja penambahbaikan Rumah MAKSAK Bahagian Sibu untuk menempatkan TTG di Sibu, pada Isnin.

Beliau juga menambah, operasi TTG Sibu akan dikendalikan oleh badan bukan kerajaan (NGO) yang dilantik secara rasmi oleh Jawatankuasa Penyelarasan Gelandangan Sarawak (JPGS).

“Persatuan Amal Shan Xin Malaysia Cawangan Sibu akan bertindak sebagai badan utama pengoperasian TTG Sibu dan akan bekerjasama dengan persatuan-persatuan lain.

“Kita amat mengalu-alukan pengelibatan NGO untuk melancarkan operasi dan objektif penubuhan TTG ini,” tambahnya.

Sementara itu, Dato Sri Fatimah turut berkata, Borneo Best Community Social Support Centre (BBCSSC) di Kuching bakal menyediakan bantuan dan sokongan kepada golongan gelandangan di sekitar bandaraya itu.

Ujarnya, pusat sokongan sosial komuniti itu juga menyediakan perkhidmatan bantuan, sokongan dan rujukan intervensi bagi menangani masalah sosial yang dihadapi oleh komuniti yang berisiko.-EDISI UKAS

Share

add comment