234 Terima Vaksin Dos Kedua Di Sri Aman

SELASA, 6 APRIL 2021

SRI AMAN: Seramai 234 orang menerima vaksin Pfizer-BioNTech dos kedua di Pusat Pemberian Vaksin Dewan Suarah Sri Aman pada Isnin.

Penerima mula beratur di Pusat Pemberian Vaksin seawal jam 8 pagi bagi tujuan pendaftaran oleh pihak Pejabat Kesihatan Malaysia Bahagian Sri Aman.

Turut menerima vaksin dos kedua tersebut adalah Menteri Muda Pembangunan Perindustrian Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batang Ai, Datuk Malcom Mussem Lamoh dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Simoi Peri.

Ketika ditemui, Datuk Malcom menyeru agar masyarakat di Bahagian Sri Aman untuk terus mendaftarkan diri sebagai penerima vaksin.

“Saya menyeru masyarakat di Bahagian Sri Aman untuk terus mendaftarkan diri sebagai penerima vaksin melalui aplikasi MySejahtera, Pejabat-Pejabat Daerah berdekatan dan juga klinik-klinik kesihatan yang berhampiran,” katanya.

Proses pemberian vaksin berjalan dengan lancar dan mengikut ketetapan oleh pihak Jabatan Kesihatan Bahagian Sri Aman.-EDISI UKAS

Share

add comment