5 Usahawan Dari Sarawak Memenangi Program Shell LiveWIRE Dan TEGAS

SELASA, 6 APRIL 2021

MIRI: Seramai lima usahawan dari Sarawak telah memenangi geran perniagaan dari Shell Malaysia dengan kerjasama Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS) melalui Program Pembangunan Usahawan Shell LiveWIRE 2020

Menurut kenyataan Pengerusi TEGAS, Datu Len Talif Salleh pada Isnin, pihaknya sangat gembira kerana dapat bekerjasama dengan Shell menerusi program Shell LiveWIRE 2020 untuk lima tahun berturut-turut dan mewujudkan ekosistem permulaan secara inklusif di Sarawak.

“Kita percaya melalui perkongsian ini, kita boleh mempercepatkan pertumbuhan usahawan tempatan dan melonjakkan mereka ke tahap seterusnya,” katanya.

Menurut Shell Malaysia dalam kenyataannya, lima pemenang akan menerima geran perniagaan sebanyak RM15,000 dan bimbingan perniagaan selama sembilan bulan bagi membantu mereka bermula dan mengembangkan perniagaan.

Dalam pada itu juga, syarikat minyak dan gas tersebut akan memberi peluang kepada usahawan-usahawan yang terpilih memasuki rantaian nilai Shell Malaysia.

Antara lima pemenang dalam program tersebut adalah Moses Lejau Vinsien, Mohammad Hisham Khairul Nasir, Fitriah Rahbi, Mohammad Hajib Ali dan Sara Nadia Suib.

Seramai 30 orang usahawan dari seluruh Sarawak telah mengikuti program Sarawak Shell Live WIRE 2020. –EDISI UKAS

Share

add comment