988,284 Hektar Tanah Telah Diukur Jabatan Tanah dan Survei Sarawak

ISNIN, 5 APRIL 2021

KUCHING: Jabatan Tanah dan Survei (JTS) Sarawak telah berjaya mengukur seluas 988,284 hektar tanah setakat 15 Mac 2021 dengan 772,102 hektar telah diwartakan.

Menurut Pengarah JTS, Abdullah Julaihi, keluasan ini siap untuk dibangunkan dengan aktiviti pertanian moden, menyahut seruan teras kedua di dalam GTP 2010, lebih-lebih lagi untuk memacu transformasi pertanian moden ke arah Sarawak negeri maju 2030 sebagai hub pengeluaran makanan.

“Pada tahun 2021, sasaran untuk perimeter kekal 53,000 hektar manakala pengukuran individu seluas 24,000 hektar almost double sasaran tahun lepas.

“Ini sesuai dengan penekanan kepada pengukuran lot individu peringkat kedua pada tahun ini,” katanya semasa berucap pada Majlis Perjumpaan Pegawai Land And Survey Sarawak bersama Ketua Menteri, Datuk Patinggi (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg di Kuching pada Isnin.

Menurut Abdullah, dengan dana daripada Kerajaan Persekutuan sebanyak RM21.5 juta bagi tahun 2021 ditambah dana Kerajaan Negeri RM40 juta secara progresif dari tahun 2019, kerja pengukuran di lapangan dijangka bertambah aktif.

Ujar beliau, di samping Pengukuran NCR seksyen 6 dan seksyen 18, JTS juga bertanggungjawab memastikan kerja ukur bagi projek-projek infrastruktur di bawah seliaan RECODA, URDA, HDA, ISDA dan lain-lain disiapkan sepenuhnya terutama pengukuran jalan, jajaran paip, projek mega Lapangan terbang Bebuling dan Bukit Mabong.

Menjelas lanjut, Abdullah berkata beberapa projek yang signifikan seperti Darul Hana, Kampung Datu Sibu, Kemuyang dan beberapa projek Skim Penempatan Semula (SPS) dan Skim Pembesaran Kampung (SPK) akan mula dilaksanakan secara agresif pada 2021.

“Dalam tempoh RMKe-11 sahaja, sejumlah 4,645 lot kediaman telah diluluskan melalui SPS dan SPK. Daripada 54 projek, 36 telah disiapkan manakala 18 projek diteruskan dalam RMKe-12.

“Kita jangkakan jumlah projek SPS dan SPK akan bertambah berdasarkan populariti serta keperluannya,” tambah beliau.

Katanya, JTS berdepan amanah besar memastikan tanah sedia untuk dibangunkan bagi menyediakan infrastruktur telekomunikasi.

Jelas Abdullah, sebanyak 300 series menara telekomunikasi fasa 1 giat dilaksanakan, ditambah 300 series menara untuk fasa kedua serta 636 menara melalui pelan jalinan digital negara JENDELA.

Pada majlis itu, pasukan Lands Tahai-Q JTS Limbang dan Innotech Q9 JTS Bintulu menerima anugerah khas yang disampaikan oleh Ketua Menteri.

Kumpulan Lands Tahai-Q merangkul Anugerah Emas dan Anugerah Khas Japan Intellectual Property Association manakala Kumpulan Innotech Q9 merangkul Anugerah Perak pada Malaysia Technology Expo (MTE) 2021.

Terdahulu, Ketua Menteri telah melancarkan Buku Metamorfosis Evolusi Kualiti dan Inovasi Jabatan Tanah Dan Survei Sarawak.

Hadir sama Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak Datuk Amar Jaul Samion, Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Datu Len Talif Salleh dan Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Bandar dan Sumber Asli Datu Sr Zaidi Mahdi. – EDISI UKAS