Kejayaan Pegawai Tadbir Subis Menjadi Sumber Inspirasi Anak Muda Di Sarawak

SELASA, 6 APRIL 2021

SUBIS: Anak muda khususnya Bumiputera Sarawak harus mempunyai impian untuk dicapai dan nescaya akan bersuluh jalan ke depan.

Ungkapan itu disuarakan Pegawai Tadbir Subis James Jam Jolly yang merupakan penerima Ijazah Doktor Falsafah dalam Bidang Perubatan (Farmakologi) dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Beliau yang berasal dari Empadi Undup Sri Aman dan membesar di bandar Miri menerima Ijazah Doktor Falsafah dalam Bidang Perubatan (Farmakologi) dari UKM menerusi penyelidikan berkaitan penyakit Tulang Rapuh (Osteoporosis) menggunakan isomer minyak kelapa sawit yang telah diekstrak dalam Konvokesyen UKM pada Ahad.

Katanya, peranan ibu bapa dan keluarga perlu selari dalam mendokong impian yang ditanam dan doa mereka menjadi penyuluh jalan masa yang mendatang.

“Jadilah yang terbaik untuk diri sendiri, keluarga dan masyarakat. 

“Sesungguhnya ilmu itu pelita hidup dan tuntutlah ilmu di mana sahaja. Kentalkan hati, disiplinkan diri dan sentiasa fokus dalam apa jua kita lakukan. 

“Nescaya kita beroleh kejayaan dengan izinnya,” katanya. 

Beliau turut mengikuti bidang pengajian kejuruteraan tisu dan perubatan regeneratif serta menerbitkan 8 jurnal antarabangsa dan menghadiri 9 persidangan antarabangsa termasuklah di Soka University di Jepun. 

Pernah menjadi ‘Student Associate’ selama tiga bulan di Curtin University Perth Western Australia semasa mengikuti pengajian Ijazah Sarjana Muda sebelum melanjutkan pengajian di peringkat Ijazah Sarjana di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan pengajian di peringkat Ijazah Kedoktoran (PhD) di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Selepas itu, James sekali lagi menjadi ‘Student Associate’ selama 5 minggu di Singapore National Academy of Science. 

Beliau juga merupakan pemegang biasiswa Tunku Abdul Rahman (TAR) di peringkat MyMaster dan MyPhD daripada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT). 

Sementara itu, tinjauan di media sosial miliknya mendapati ramai yang memberikan sokongan dan melahirkan perasaan bangga atas pencapaian yang diterimanya. 

Ini membuktikan bahawa anak Sarawak terutamanya Bumiputera Sarawak mampu menjadi contoh insan yang berjaya kepada masyarakat dan pembakar semangat kepada anak-anak muda untuk tidak berhenti mencari ilmu dan berkhidmat untuk negeri Sarawak.

Beliau juga menerima ucapan tahniah daripada Ahli Parlimen Sibuti Lukanisman Awang Sauni yang turut melahirkan perasaan bangga di atas kejayaan itu. -EDISI UKAS