Pastikan Buat Ujian Calitan rT-PCR Sebelum Masuk Atau Melintasi Bahagian Bintulu

SELASA, 6 APRIL 2021

BINTULU: Orang ramai khususnya mereka yang ingin memasuki atau melintasi kawasan Bintulu untuk ke Miri perlu menjalani ujian calitan rT-PCR tiga hari terlebih dahulu. 

Ini selaras dengan pengumuman Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Bintulu supaya setiap orang yang masuk atau melintasi kawasan Bahagian Bintulu perlu mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi mengelak penularan wabak pandemik COVID-19. 

Tinjauan wartawan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) di KM18 Jalan Tatau/ Sibu pada Isnin mendapati petugas barisan hadapan yang terdiri daripada Polis Di Raja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) telah mengadakan sekatan jalan raya. 

Sepanjang pemerhatian, ada di antara pemandu dan penumpang terpaksa diarah balik dan tidak dibenarkan memasuki Bintulu kerana tidak membuat ujian rT-PCR dan disertakan dengan permit polis. 

Bagi kes-kes kecemasan adalah tertakluk kepada SOP yang telah ditetapkan JPBB Bintulu sebelum ini. 

Sehubungan itu, orang ramai yang hendak ke Bahagian Bintulu atau melintasi kawasan Bintulu perlu mematuhi SOP sebagai langkah sekatan penularan wabak COVID-19 di bahagian itu yang beberapa minggu ini mencatat peningkatan. EDISI UKAS

Share

add comment