14 Keluarga Yang Dikuarantin Di DUN Mambong Terima Bantuan Makanan

RABU, 7 APRIL 2021

SIBURAN: Gerakan Kemasyarakatan Dewan Undangan Negeri (DUN) Mambong dan Pusat Khidmat DUN Mambong telah mengagihkan bantuan makanan kepada keluarga yang terkesan akibat dikenakan kuarantin dibeberapa lokasi pada Selasa.

Bantuan makanan tersebut telah diagihkan kepada wakil bagi 14 keluarga iaitu enam keluarga dari Kampung Masaan, tiga keluarga dari Kampung Beradau, satu keluarga dari Kampung Duras, dua keluarga dari Taman Duranda Emas dan dua keluarga dari Kampung Seratau.

Menurut Setiausaha Gerakan Kemasyarakatan DUN Mambong, Cristine yang telah mengetuai dan menyerahkan bantuan tersebut, penyerahan tersebut adalah susulan laporan daripada pihak Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).

“Terima kasih kepada KMKK dan JKKK di kawasan DUN Mambong kerana sentiasa memberi kerjasama bagi membantu penduduk yang memerlukan terutamanya bagi mendepani penularan wabak COVID-19 ini,” katanya.

Tambah beliau lagi, selain daripada memberi bantuan bungkusan makanan kepada keluarga yang dikuarantin, pihaknya juga mengadakan bantuan kemasyarakatan yang lain bagi yang memerlukan dan ditimpa musibah yang tidak diingini di DUN Mambong.

Dalam pada itu, Cristine turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Menteri Muda Pengangkutan Sarawak yang juga ADUN Mambong, Datuk Dr. Jerip Susil kerana sentiasa membantu pihak Gerakan Kemasyarakatan DUN Mambong untuk terus bergiat aktif dalam melaksana kerja-kerja kemasyarakatan dalam pelbagai aspek.-EDISI UKAS

Share

add comment