RABU, 7 APRIL 2021
BINTANGOR: Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) Malaysia telah menganjurkan program mesra pelanggan CIDB bersama kontraktor Bintangor pada Selasa.
Pengerusi CIDB Malaysia, Ir Yusuf Abdul Wahab memberitahu beliau amat berpuas hati dengan sambutan menggalakkan daripada para kontraktor di kawasan tersebut.
“Ini menunjukkan minat dari pihak kontraktor dan pekerja binaan begitu tinggi.
“Saya sunguh gembira dan saya dah maklumkan tadi dalam masa terdekat, kita akan mengadakan satu lagi program kemahiran untuk memberi manfaaat kepada mereka,” katanya.
Tambah beliau, CIDB telah memperkenalkan Sistem Binaan Berindustri (IBS) untuk mempercepatkan pelaksanaan pembinaan bangunan dan menjimatkan kos projek dengan teknologi efektif yang baharu.
Ketika ditemui salah seorang peserta, Hanisah berkata perkongsian maklumat daripada CIDB banyak memberi manfaat terutamanya kepada mereka yang baru menceburi bidang pengkontraktoran.
“Kami berharap program seperti ini boleh diadakan lagi di tempat-tempat pedalaman kerana banyak yang berminat dalam bidang ini,” katanya.
Selain itu, Yusuf yang juga Ahli Parlimen Tanjung Manis berkata, pihaknya kini sedang dalam proses mengagihkan bahan makanan asas kepada semua ketua isi rumah (KIR) di seluruh kawasan Parlimen Tanjung Manis.
Katanya, bantuan itu adalah untuk meringankan beban keluarga yang terkesan disebabkan pandemik COVID-19 lebih-lebih lagi sempena menyambut bulan Ramadan yang hampir tiba.
“Saya berharap mereka bersabar menunggu sumbangan ini yang sedang dijalankan sekarang,” ujarnya.
Penghulu Komuniti Kampung Melayu Bintangor, Abang Hashim Abang Sulhi ketika ditemubual UKAS menzahirkan penghargaan kepada kerajaan negeri atas bantuan yang telah diberikan kepada penduduk di sini.-EDISI UKAS