Kerajaan Sarawak Bangunkan Bandar Mini Mulu

RABU, 7 APRIL 2021

MULU: Bandar Mini Mulu di bawah kawasan pentadbiran Daerah Kecil Mulu bakal dibangunkan oleh kerajaan Sarawak sekaligus merangsang pembangunan serta kemajuan dalam pelbagai aspek khususnya sektor pelancongan.

Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, kerajaan negeri akan melakukan pelan induk bagi merealisasikan projek tersebut dalam masa terdekat.

Menurutnya, kerajaan Sarawak akan mengambil alih projek tersebut daripada kerajaan pusat untuk memastikan pembangunannya cepat dilaksanakan sekaligus memberi manfaat kepada komuniti setempat.

“Kawasan Mulu ini merupakan kawasan pelancongan, jadi kita mesti menyediakan pelan induk bagi membangunkan Bandar Mini Mulu ini dengan cepat seperti menyediakan pejabat-pejabat pentadbiran kerajaan negeri dan persekutuan di sini,” katanya semasa Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Mulu pada malam Selasa.

Dalam pada itu, Ketua Menteri menambah, kerajaan negeri bersetuju menambah satu blok baharu bagi skim penempatan semula masyarakat Penan di Batu Bungan.

Malah, beliau juga bersetuju dengan cadangan untuk mengazet Kampung Melinau sebagai kampung rizab.

Sementara itu, beliau memberitahu, semua kawasan di kawasan Mulu akan dibekalkan dengan bekalan elektrik menerusi Skim Pembekalan Elektrik Alternatif Luar Bandar Sarawak (SARES) menjelang tahun depan.

“Kerajaan Sarawak menerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) menyediakan kemudahan elektrik secara percuma kepada rakyat di kawasan luar bandar dengan SARES,” katanya.

Terdahulu semasa berucap, Timbalan Speaker DUN Sarawak yang juga ADUN Mulu, Dato Gerawat Gala memberitahu, beliau bersama Ahli Parlimen Baram, Anyi Ngau sentiasa berusaha keras untuk membawa kemajuan dan pembangunan di kawasan Mulu.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Menteri Pelancongan, Kesenian Dan Kebudayaan Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah, Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datu Len Talif Salleh, Menteri Muda Hal Ehwal Korporat Dan UKAS, Abdullah Saidol, Ahli Parlimen Baram, Anyie Ngau serta tetamu kehormat lain. -EDISI UKAS

Share

add comment