RABU, 7 APRIL 2021
BINTULU: Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) diarah melaporkan semua aktiviti sosial penduduk di kawasan masing-masing kepada pejabat daerah berdekatan dalam usaha mengawal penularan COVID-19 di Bahagian Bintulu.
Residen Bahagian Bintulu, Jack Aman Luat berkata pejabat daerah akan sedia membantu KMKK bagi menasihati dan mendapatkan bantuan dari agensi-agensi yang berkenaan untuk memastikan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang sedia ada dipatuhi.
“Penglibatan komuniti dari peringkat dasar memainkan peranan penting dalam menjaga keselamatan awam dari penularan wabak COVID-19.
“Justeru, saya berharap penduduk di Bintulu tidak menganjurkan mana-mana aktiviti sosial bagi mengekang penularan COVID-19,” katanya dalam sidang media Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Bintulu (JPBBB) di Pejabat Residen Bintulu pada Selasa.
Hadir sama Pegawai Kesihatan Bahagian Bintulu Dr. Melvin Chung, Timbalan pengarah Hospital Bintulu Dr Sivashunmugam a/l Sangaran, Timbalan Ketua Polis Daerah Bintulu Jame Reis dan Pemangku Pegawai Daerah Tatau Calvin Ligong. -EDISI UKAS