MySRBN Bekal Akses Internet Berkelajuan Tinggi Di Kabong

RABU, 7 APRIL 2021

KABONG: Kawasan DUN N.40 Kabong bakal mempunyai akses internet berkelajuan tinggi melalui inisiatif Sarawak Rural Broadband Network (MySRBN).

Liputan internet melalui pemasangan teknologi Fixed Wireless Access (FWA) ini nyata yang ditunggu-tunggu penduduk di Kabong.

Kerajaan Sarawak memperuntukkan dana sebanyak RM200 juta bagi menyediakan Jaringan Jalur Lebar Luar Bandar Sarawak atau Sarawak Rural Broadband Network (SRBN) di kawasan pedalaman di negeri ini.

Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, MySRBN akan memberikan keutamaan dalam jaringan jalur lebar ke kawasan pedalaman khasnya di klinik-klinik desa, sekolah, hospital dan dewan masyarakat.

Atas sebab kekangan kelajuan jalur lebar di kawasan pedalaman, kerajaan negeri telah mengambil satu inisiatif yang baru serta inovatif dengan menggunakan teknologi FWA di mana perkhidmatan jalur lebar dengan kelajuan tinggi dapat dibekalkan ke kawasan pedalaman.

Untuk kawasan DUN Kabong, sebanyak lima menara telekomunikasi telah dikenalpasti bagi tujuan tersebut dan bakal memberi manfaat kepada penduduk lebih-lebih lagi para pelajar dan para guru menjalani Pengajaran Dan Pembelajaran Di Rumah (PdPR).

Hari ini satu tinjauan ke lokasi Projek MySRBN telah diadakan oleh wakil dari Danawa Resources Sdn Bhd selaku rakan niaga SDEC iaitu Monica Nacha Nicholas (Project Executive), Rosfizal Hipni (Technical Department), Norliyana Mohd Zulkifli (Customer Service Department) dan turut ditemani Pegawai Khas ADUN Kabong, Nur Elffi Amir.

Rombongan ini juga berkesempatan berjumpa dengan pihak pentadbiran SK Abang Moh Sessang dan SMK Kabong bagi sesi penerangan inisiatif Kerajaan Sarawak ini, iaitu Gabungan Parti Sarawak (GPS) melalui MySRBN.

Dalam pada itu, ADUN Kabong, Mohd Chee Kadir akan terus bekerjasama bagi memastikan kemudahan sebegini dinikmati seluruh penduduk kawasan DUN Kabong. – EDISI UKAS

Share
0