Pengawal Pantai Sarawak Lindungi Lebih 1.2 Juta Hektar Taman Laut Yang Diwartakan

RABU, 7 APRIL 2021

KUCHING: Penubuhan barisan pertahanan Pengawal Pantai Sarawak bertujuan melindungi lebih 1.2 juta hektar taman laut milik negeri ini yang telah diwartakan.

Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg memberitahu penguatkuasaan adalah mengikut peruntukan di bawah undang-undang Ordinan Perlindungan Hidupan Liar 1998 dan juga Ordinan Taman Negara dan Rizab Semulajadi 1988.

“Taman laut yang diwartakan di Sarawak adalah Similajau National dengan keluasan 13,124 hektar, Tanjung Datu National Park (627 hektar), Talang-Satang National Park (19,414 hektar), Miri-Sibuti Coral Reefs National Park (186,930 hektar), Santubong National Park (2,165 hektar), Limbang Mangrove National Park (1,623 hektar), Bruit National Park (8,071 hektar) dan Luconia Shoals National Parks (1,001,772 hektar),” jelasnya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas majlis pelancaran Pengawal Pantai Sarawak (SCG) pada Rabu.

Mengulas lanjut mengenai Pengawal Pantai Sarawak, Datuk Patinggi Abang Zohari turut memaklumkan, sebanyak lima buah pengkalan akan dibina di negeri ini di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

“Kita akan membina lima buah pengkalan untuk Pengawal Pantai Sarawak iaitu di Kuching, Tanjung Manis, Bintulu, Miri dan Lawas di bawah RMK-12.

“Untuk latihan, latihan asas satu minggu untuk Pengawal Pantai di Sibu dan Miri dikendalikan oleh Pelita Maslaut Sdn Bhd.

“Latihan seterusnya untuk pengendalian bot interceptor selama satu minggu akan dikendalikan oleh Pasukan Marin PDRM,” kata Ketua Menteri lagi.

Terdahulu, Pengarah Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Negeri (UKPN), Datu Dr Chai Khin Chung semasa berucap dalam majlis pelancaran tersebut memberitahu, sebanyak sembilan buah kapal ronda laju dijangka siap secara berperingkat-peringkat pada tahun 2022 dan 2023.

“Selain daripada aset yang sedia ada kini, sebanyak sembilan buah kapal ronda laju dijangka siap secara berperingkat-peringkat pada tahun 2022 dan 2023,” katanya sambil menambah dengan perolehan aset-aset tersebut, Pengawal Pantai Sarawak mampu memikul tanggungjawab dan objektif-objektif yang ditetapkan. – EDISI UKAS

Share

add comment