KHAMIS, 8 APRIL 2021
KAPIT: Pembinaan Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) serta Pos Kawalan Sempadan telah dicadangkan di kawasan Long Singut, Ulu Sg. Baleh.
Hadir meninjau kawasan tersebut selama dua hari baru-baru ini,Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak,Tan Sri Datuk Amar Dr. James Jemut Masing berkata, beliau akan membentangkan cadangan berkenaan pada mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Sempadan akan datang.
Jelasnya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Sempadan Negeri Sarawak, ia bagi memperkukuhkan lagi keselamatan sempadan Sarawak dengan Kalimantan lebih-lebih lagi apabila pusat pentadbiran negara Indonesia dipindahkan ke lembangan Sungai Mahakam yang berdekatan dengan Kapit.
Beliau selaku Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Baleh turut membantu menyelesaikan isu Kad Pengenalan Hijau bagi komuniti Kenyah Bakong dengan kerjasama pihak Jabatan Pendaftaran Negara Cawangan Kapit.
Katanya, isu terbabit akan dibawa beliau bersama Ahli Parlimen Hulu Rajang, Datuk Wilson Ugak Kumbong, ke peringkat negeri dan persekutuan memandangkan seramai 726 orang penduduk di Long Singut masih memegang Kad Pengenalan Hijau dan hanya 100 lebih sahaja mempunyai Kad Pengenalan Biru.
Tan Sri Datuk Amar Dr. James Jemut Masing berkesempatan berinteraksi dengan penduduk setempat mengenai isu pembinaan Empangan Hidro Baleh sedalam kira-kira 53 meter (176 kaki), yang dijangka memberi kesan kepada kediaman komuniti Kenyah Bakong di Rantau Penora.
Dalam lawatan sama, beliau juga telah menyalurkan peruntukan geran MRP sebanyak RM30,000 kepada JKKK Long Singut, RM30,000 kepada Gereja Roman Katolik Long Singut dan RM 10,000 kepada Biro Wanita JKKK Long Singut. -EDISI UKAS