Empat Organisasi Seliaan MANRED Hasilkan Buku OACP

KHAMIS, 8 APRIL 2021

KUCHING : Empat buah organisasi dibawah seliaan Kementerian Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Sarawak (MANRED) berjaya menghasilkan buku Pelan Antirasuah Organisasi (OACP) yang lengkap dan padat.

Menteri di Jabatan Ketua Menteri (Integriti & Ombudsman),Datuk Talib Zulpilip berkata, Buku OACP tersebut menjadi garis panduan kepada organisasi dalam memerangi rasuah di kalangan penjawat awam di negeri ini bagi mengukuhkan amalan dan budaya berteraskan integriti.

Beliau yang berucap mewakili Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Ugah Embas di Majlis Pelancaran Buku OACP berkenaan pada Khamis, turut menyeru agar MANRED dan agensi dibawahnya terus komited dalam tindakan pemantauan serta pengawasan untuk memastikan pelan tindakan yang telah digariskan dalam OACP bagi tempoh 2021 hingga 2025 dilaksanakan seperti yang dirancang.

Hadir sama , Menteri Muda Pemodenan Pertanian, Tanah Adat & Pembangunan Wilayah Sarawak,Datuk Roland Sagah Wee Inn, Setiausaha Tetap MANRED,Edwin Abit, Pengarah UNION,Adana Jed, Pengarah DVSS,Adrian Susin Ambud, Pengurus Besar SALCRA, Joseph Blandoi serta Pengurus Besar SLDB,Siang Mandaw. -EDISI UKAS