Kemudahan Terminal Bako Dinaik Taraf, Tingkatkan Industri Pelancongan Sarawak

KHAMIS, 8 APRIL 2021

KUCHING: Kemudahan Terminal Bako yang baharu saja siap dinaik taraf akan meningkatkan lagi perkembangan industri pelancongan tempatan dan Sarawak. 

Menurut Menteri Pengangkutan Sarawak Datuk Lee Kim Shin, kemudahan yang baik dan sempurna pastinya akan menarik lebih ramai pelancong datang serta menggunakan perkhidmatan yang disediakan.

Katanya, beliau sempat bertanyakan kepada beberapa pengusaha bot pelancong di Bako ini mengenai perkhidmatan yang ditawarkan dan menjelaskan ianya memberi hasil yang lumayan. 

“Sememangnya operasi membawa pelancong ini memberi pulangan yang lumayan kerana mampu memperoleh pendapatan yang tinggi. 

“Oleh itu, pengusaha bot pelancong perlu menjaga keselamatan pelancong yang datang ke sini dan memberikan layanan yang baik. 

“Dan, yang penting ialah memastikan keselamatan pelancong sentiasa diberikan keutamaan,” katanya. 

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Perasmian ‘Soft Launching’ Terminal Bako pada Khamis. 

Kerja-kerja menaik taraf Terminal Bako mengambil masa selama 15 bulan untuk disiapkan dengan kos sebanyak RM2.68 juta dan dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Sarawak. 

Datuk Lee menambah, untuk memastikan setiap pengusaha bot pelancong itu mempunyai pengetahuan berkaitan pelancongan, Lembaga Sungai Sarawak (LSS) akan memberikan kursus bagi meningkatkan kemahiran mereka mengendalikan bot dan berinteraksi dengan pelancong. 

“Lembaga Sungai Sarawak (LSS) ada mengadakan kursus kepada semua pengusaha bot pelancongan supaya mereka mempunyai pengetahuan dan faham terhadap kehendak pelancong.

“Di samping itu, tahu cara-cara bot diselenggara dengan baik dan selamat,” tambahnya. 

Untuk rekod, jumlah pengunjung terkumpul yang dicatatkan selama tiga tahun terakhir dari 2018 hingga 2020 adalah 137,886. 

Hadir sama Menteri Muda Pengangkutan Sarawak Datuk Dr. Jerip Susil, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut Dr Hazland Abang Hipni, Setiausaha Tetap, Kementerian Pengangkutan Sarawak Datu Buckland Bangik dan Pengerusi Sungai-Sungai Sarawak Dr. Murni Suhaili. -EDISI UKAS

Share
0