MAKSAK Bahagian Bintulu Dan YARM Sarawak Sumbang Air Mineral Kepada Petugas Barisan Hadapan

KHAMIS, 8 APRIL 2021

BINTULU: Sebanyak 40 kotak air mineral telah diagihkan kepada petugas barisan hadapan di Bahagian Bintulu yang terdiri daripada Polis Di Raja Malaysia (PDRM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Sumbangan ini telah disampaikan Setiausaha Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota-Anggota Kerajaan Sarawak (MAKSAK) Bahagian Bintulu merangkap Naib Pengerusi Yayasan Anti Rasuah Malaysia (YARM) Sarawak (Wilayah Utara) Harun Hatta kepada setiap wakil PDRM, RELA dan APM dalam satu majlis ringkas yang diadakan di Pejabat Residen Bahagian Bintulu pada Rabu. 

Menurut Harun, kebanyakan aktiviti MAKSAK Bahagian Bintulu pada tahun ini lebih menjurus kepada aktiviti sosial dan kerja amal. 

Kerja-kerja amal ini menjurus kepada membantu barisan hadapan dan masyarakat etempat yang terjejas dengan penularan wabak COVID-19.

Ianya sekaligus menghargai jasa dan pengorbanan barisan hadapan yang telah banyak membantu untuk memerangi wabak pandemik COVID-19. 

Turut memberikan sumbangan ialah Syarikat Mid Drinks Sdn Bhd yang turut menyalurkan tanggungjawab sosial korporat (CSR) kepada MAKSAK Bahagian Bintulu untuk diagihkan kepada petugas barisan hadapan. 

Hadir sama wakil Ibu Pejabat PDRM Daerah Bintulu Sarjan Napisah Tommy, Penolong Pegawai RELA Bintulu Haffizul Bin Annuar, wakil APM Daerah Bintulu Afiq dan wakil Syarikat Mid Drinks Sdn Bhd Stanley Gamia Jaunting. -EDISI UKAS