MIS Serah Sumbangan Lebih RM1. 5 Juta Kepada 1,532 Masjid, Surau

KHAMIS, 8 APRIL 2021

KUCHING: Majlis Islam Sarawak (MIS) telah menyampaikan sumbangan berjumlah lebih RM1. 5 juta kepada 1,532 masjid dan surau negeri ini sempena ramadan tidak lama lagi.

Menurut Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, sumbangan tersebut bertujuan untuk penganjuran aktiviti masjid dan surau.

“Sumbangan ini adalah kelaziman bagi kita untuk membantu masjid dan surau di Sarawak untuk mereka mengadakan ibadah masing-masing pada bulan ramadan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menyempurnakan Majlis Penyerahan Sumbangan Majlis Islam Sarawak kepada Masjid dan Surau Negeri Sarawak di Kuching pada Khamis.

Ketua Menteri juga menambah, pada tahun ini, solat sunat tarawih dibenarkan di masjid dan perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.

“Pada tahun ini dengan melihat keadaan pada masa sekarang, kita telah memberikan kebenaran untuk mengadakan solat sunat terawih di surau dan masjid.

“Namun, SOP mestilah dipatuhi dengan sebaiknya,” tambahnya.

Dalam pada itu, Ketua Menteri turut mengajak rakyat negeri ini untuk bersama-sama mengambil suntikan vaksin COVID-19 yang diteruskan bagi fasa kedua pada April ini.

“Pada April ini, fasa kedua vaksin untuk orang ramai akan bermula dan melibatkan sebahagian besar rakyat Sarawak.

“Kita berharap masyarakat tidak perlu takut untuk mendapatkan vaksin ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Menteri juga menambah Kerajaan Sarawak akan memastikan masjid dan surau di seluruh negeri terus dibantu termasuk di kawasan pedalaman.

Ujarnya, Kerajaan Negeri telah menyediakan peruntukan yang besar pada tahun ini untuk membangun dan membaiki masjid dan surau.

Turut hadir Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam dan DBKU) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak, Datu Misnu Taha, Pengarah Jabatan Agama Islam Sarawak, Ustaz Khalidi Ibrahim dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Amanah Kebajikan Masjid Negeri Sarawak, Datuk Abang Abdul Wahap Abang Julai. -EDISI UKAS

Share

add comment