Pendaftaran Vaksin COVID-19 Di Daerah Lawas Tinggi Berbanding Di Daerah Limbang

KHAMIS, 8 APRILE 2021

LAWAS: Walaupun kadar pendaftaran vaksin COVID-19 di Daerah Lawas tinggi sekitar 60 hingga 70 peratus berbanding di Daerah Limbang, tetapi jumlah itu masih belum mencukupi.

Timbalan Menteri II Pembangunan Luar Bandar Dato Henry Sum Agong berkata kerajaan mensasarkan sekitar 80 peratus atau lebih rakyat di sesebuah daerah mendaftar sebagai penerima vaksin COVID-19. 

“Saya berterima kasih kerana kita di Lawas dari segi pendaftaran vaksin COVID-19 agak tinggi berbanding dengan Daerah Limbang sekarang masih rendah. 

“Kalau tidak salah, 60 hingga 70 peratus di Daerah Lawas ini sudah mendaftar. Kalau mencapai target, kita memerlukan 10 peratus lagi,” katanya. 

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Program Malaysia Prihatin yang diadakan di Dewan Kampung Lumut, Jalan Trusan, Lawas pada Rabu. 

Ujar Dato Henry yang juga Ahli Parlimen Lawas, lagi, beliau terus menyeru kepada orang ramai di Daerah Lawas ini yang masih belum mendaftar sebagai penerima vaksin COVID-19 supaya segera berbuat demikian. 

“Saya menyeru supaya berita ini (pendaftar vaksin COVID-19) dapat disampaikan kepada kepada anak-anak buah. 

“Kita boleh mendaftar sebagai penerima vaksin COVID-19 melalui Aplikasi MySejahtera, selain di Klinik Kesihatan dan Hospital. 

“Apabila sudah mendaftar, kita menunggu panggilan daripada pihak hospital dan klinik untuk menerima suntikan vaksin COVID-19,” ujarnya.

Tambahnya lagi, pengambilan vaksin COVID-19 ini adalah untuk keselamatan diri, keluarga dan rakyat, dan tanggungjawab kerajaan adalah mahu memastikan keselamatan rakyat berada pada tahap tertinggi. 

Hadir sama Pegawai Daerah Lawas Ladin Atok, Ketua Kampung Lumut Upai Piri, Tuai Rumah Munit Ak Entalang, Ketua Kampung Batu Dua Haidan Hj Dollah dan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) sepanjang Jalan Trusan. -EDISI UKAS