KHAMIS, 8 APRIL 2021
KOTA SAMARAHAN: Pengesanan kes secara aktif (ACD) yang dilaksanakan di Kampung Serpan Laut pada Rabu menyaksikan kira-kira 400 penduduk telah menjalani ujian saringan COVID-19.
Ahli Parlimen Kota Samarahan, Rubiah Wang menggesa penduduk di kampung berkenaan untuk kekal tenang dan menerima keputusan sebaiknya demi kebaikan semua pihak.
Katanya, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Samarahan iaitu di Taman Univista dan Kampung Binyu menunjukkan keberkesanan tindakan berkenaan dalam mengawal penularan wabak COVID-19 dari terus merebak ke kawasan lain.
Beliau turut merakamkan ucapan terima kasih kepada semua petugas barisan hadapan yang bertungkus lumus dalam memastikan penularan wabak terkawal.
Sementara itu, beliau berharap, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Asajaya sentiasa dalam keadaan bersiap sedia untuk menghadapi pelbagai kemungkinan. -EDISI UKAS