JUMAAT, 9 APRIL 2021
LIMBANG: Semua Bazaar Ramadan termasuk Pasar Tamu Khamis Jumaat, Pasar Tani, ’Night Street Market’ dan Pasar Payung di seluruh Daerah Limbang dibatalkan.
Walikota Majlis Daerah Limbang Kaunselor Sufian Mohat berkata, pembatalan ini disebabkan kes di Limbang yang dijangka semakin meningkat.
“Pertama, untuk memberhentikan penularan virus COVID-19 ini dari merebak dalam kalangan masyarakat di Daerah Limbang.
“Keduanya, adalah untuk membantu masyarakat kita khususnya yang terlibat dalam swab test jika berniaga di Bazaar Ramadan.
“Jadi mereka tidak perlu menjalani swab test kerana Bazaar Ramadan tahun ini telah dibatalkan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Sidang Media Pembatalan Bazaar Ramadan Limbang 2021 dan Penutupan Sementara Tamu Khamis Jumaat di Pejabat Majlis Daerah Limbang pada Khamis.
Tambahnya lagi, Bazaar Ramadan yang dianjurkan oleh persatuan atau syarikat yang mana telah memohon kepada Majlis Daerah Limbang (MDL) juga dibatalkan.
Dalam pada itu, mereka yang berniaga di hadapan rumah masing-masing, dibenarkan tetapi mereka perlu memohon permit ke Majlis Daerah Limbang dan mengikuti Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ketat seperti mana yang ditetapkan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak.
Dalam perkembangan sama, Kaunselor Sufian turut memaklumkan aktiviti perniagaan seperti Pasar Tamu Khamis Jumaat, Pasar Tani di bawah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Night Street Market serta Pasar Payung juga ditutup.
“Aktiviti-aktiviti perniagaan ini juga turut kita tutup sementara waktu dan apabila status Limbang kembali kepada hijau kita akan maklumkan semula kepada mereka untuk kembali berniaga tetapi mesti juga mematuhi SOP-SOP yang telah ditetapkan,” ujarnya.
Beliau turut menjelaskan, restoran dan gerai-gerai makan masih boleh beroperasi seperti biasa tetapi, hanya dibenarkan bungkus bawa balik sahaja dan masih juga perlu mematuhi SOP yang telah ditetapkan oleh JPBN Sarawak.
Ujarnya lagi, sepanjang bulan Ramadan restoran dan gerai makan muslim mereka dibenarkan beroperasi bermula pada pukul 2:00 petang sehingga 10:00 malam, manakala bagi non Muslim masih boleh beroperasi seperti biasa dan mengikuti SOP yang telah ditetapkan.
Katanya, semua keputusan ini dibuat adalah bagi membantu agensi-agensi kerajaan khususnya Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengawal penularan COVID-19 di Daerah Limbang dan memahami bahawa Daerah Limbang kini berada dalam status Zon Kuning.
Hadir sama Pejabat Daerah Limbang Muhammad Firhan Iskandar Goh, Jabatan Kesihatan Bahagian Limbang Denni Doming, Polis Di Raja Malaysia (PDRM) Limbang Cawangan Trafik Sarjan Mejar Bodi Haidon dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Limbang Syamsuri Suhaimi. -EDISI UKAS