COVID-19 : 555 Kes Positif Baharu, 3 Kematian, Kluster Sungai Gemuan Baharu Diisytihar

JUMAAT, 9 APRIL 2021

KUCHING : Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas memaklumkan, Sarawak mencatat rekod tertinggi angka kes positif baharu hari ini apabila sebanyak 555 kes telah dikesan melibatkan 25 daerah sekaligus melonjakkan jumlah keseluruhan kepada 19,262 kes.

Daerah-Daerah yang melaporkan kes adalah Sibu (115), Bintulu (112), Miri (70), Kapit (61), Meradong (57), Mukah (46), Kuching (29), Sarikei (12), Beluru (8), Subis (8), Sri Aman (7), Julau (7), Asajaya (4), Samarahan dan Saratok masing-masing (3), Selangau, Bukit Mabong dan Tatau masing-masing (2), manakala Belaga, Betong, Song, Limbang, Bau, Serian dan Sebauh masing-masing (1) kes.

Dimaklumkan juga, terdapat tiga (3) kes kematian baharu di Bintulu, Sebauh dan Sibu.

Daripada rekod tersebut jelasnya, ia menunjukkan satu amaran buat Sarawak agar jangan lalai dan leka dalam menjalani kehidupan seharian.

“Memandangkan kes yang dilaporkan hari ini adalah yang tertinggi yang pernah direkodkan, anggaplah ini sebagai satu amaran kepada kita”

“Selagi kita tidak mematuhi SOP, selagi itulah kes di Sarawak semakin meningkat”

“Ini akan membawa implikasi yang besar kepada kita kerana rakyat tidak dapat kembali menjalani kehidupan seperti sediakala.” katanya dalam Sidang Media Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, hari ini.

Datuk Amar Douglas merangkap Pengerusi JPBN Sarawak turut mengisytiharkan, terdapat penambahan satu lagi kluster baharu iaitu Kluster Sungai Gemuan, Meradong menjadikan 45 kluster yang masih aktif setakat ini.

Sehubungan dengan itu, daerah Mukah kini berstatus merah manakala daerah Subis bertukar dari status kuning kepada status jingga. -EDISI UKAS

Share

add comment