Sarawak Delta Geopark, Pelihara Warisan Alam Semulajadi & Budaya Negeri

JUMAAT, 9 APRIL 2021

KUCHING: Sarawak Delta GeoparK (SDGp) menunjukkan komitmen Kerajaan Sarawak dalam memelihara warisan alam semulajadi dan budaya yang ada di negeri ini.

Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, geopark adalah kawasan yang mempunyai tapak warisan geologi yang boleh digunakan oleh semua pihak bagi tujuan pemeliharaan, pendidikan dan pembangunan secara mapan.

“Pemilihan Sarawak Delta adalah tepat kerana mempunyai banyak ciri geologi dan geomorfologi yang luar biasa dengan nilai geoheritage yang tinggi,”katanya.

Beliau berkata demikian  semasa berucap dalam Majlis Pelancaran SDGp di Kampung Budaya Sarawak, Kuching pada Jumaat.

Dalam pada itu, Datuk Patinggi Abang Zohari dalam sidang media selepas majlis pelancaran tersebut turut memberitahu, Sarawak juga mahu menjadikan SDGp sebagai salah satu Geopark di peringkat kebangsaan dan dunia.

Katanya, Geopark berpontensi dipasarkan agar menjadi salah satu tarikan pelancongan utama di Sarawak.

“Sarawak telah mengemukakan kawasan ini sebagai Geopark Kebangsaan kepada UNESCO dan juga kita mempunyai hala tuju selepas itu untuk diangkat sebagai Geopark global.

“Kalau kawasan ini menjadi kawasan UNESCO, sudah tentu dapat menarik para pelancong yang hendak melihat keadaannya,” ujar Ketua Menteri lagi.

Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Menteri Pelancongan, Kesenian Dan Kebudayaan, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah, Menteri di Jabatan Ketua Menteri (Integriti dan Ombudsman) Datuk Talib Zulpilip, Menteri Muda Pembangunan Bandar, Pentadbiran Tanah Dan Alam Sekitar, Datu Len Talif Salleh, dan dif-dif kenamaan yang lain.-EDISI UKAS

Share

add comment