Kerajaan Sarawak Pertimbang Cadangan Bangun Pekan Balai Ringin

SABTU, 10 APRIL 2021

BALAI RINGIN: Kerajaan Negeri akan mempertimbang dan mengkaji perancangan untuk membangunkan Pekan Balai Ringin yang akan mengubah landskap pembangunan setaraf daerah kecil.

Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, perancangan holistik diperlukan sebelum mengambil langkah seterusnya.

“Kita akan melihat dan membuat pertimbangan untuk menaiktaraf Pekan Balai Ringin.

“Saya juga meminta Jabatan Tanah dah Survei untuk membuat perancangan dan melihat butiran daripada permohonan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balai Ringin, Datuk Snowdan Lawan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Stadium Mini Balai Ringin di Balai Ringin pada Sabtu.

Ketua Menteri juga menambah, Kerajaan Negeri juga akan memastikan seluruh Balai Ringin mendapat kemudahan bekalan air menjelang tahun 2024.

“Sebelum kita membangunkan Pekan Balai Ringin kita akan memastikan seluruh kawasan ini dilengkapi kemudahan terutamanya bekalan air pada tahun 2024,” ujarnya.

Sementara itu Ketua Menteri berkata, Kerajaan Negeri meluluskan peruntukan tambahan sebanyak RM5 juta untuk pelaksanaan Stadium Mini Balai Ringin.

Menyifatkan stadium mini itu sebagai mercu tanda baharu Balai Ringin, beliau berkata, peruntukan tersebut sebagai tambahan kepada peruntukan sebanyak RM10 juta sebelum ini. -EDISI UKAS

Share

add comment