Lapangan Terbang Spaoh Pacu Ekonomi Serta Pelancongan Domestik

SABTU, 10 APRIL 2021

SPAOH: Pembinaan Lapangan Terbang Spaoh di Bebuling akan memacu aktiviti ekonomi dan pelancongan domestik apabila ia siap kelak.

Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, lapangan terbang tersebut penting sebagai pusat pengangkutan untuk menghantar hasil makanan dan produk makanan dari Spaoh, Betong dan kawasan sekitarnya ke Singapura.

“Pembinaan Lapangan Terbang Bebuling di Spaoh adalah penting kerana di sini tempat kita mengeluarkan hasil makanan.

“Kita buat agropark iaitu taman untuk mengeluarkan hasil makanan dan makanan tersebut kita akan jual ke pasaran bukan sahaja di Betong malah boleh kita eksport ke luar Singapura dengan menggunakan kapal terbang kargo,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Lawatan Kerja ‘Janji Ditepati’ Ke Daerah Kecil Spaoh di Dewan Masyarakat Spaoh pada Sabtu.

Turut hadir, Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah, Ahli Parlimen Betong, Datuk Robert Lawson Chuat, dan dif-dif kehormat yang lain.

Datuk Patinggi Abang Zohari menambah lagi, pembinaan lapangan terbang itu akan memudahkan aktiviti pelancongan di kawasan tersebut kerana  pembinaannya yang berdekatan dengan tempat pelancongan termasuk Batang Ai.

“Saya pernah jadi Menteri Pelancongan, saya bawa pelancong naik bas dari Kuching ke Batang Ai memakan masa empat jam lebih. Kalau pelancong dari luar negara, empat jam adalah lama.

“Jadi sebab itu, kalau kita ada lapangan terbang ini, pelancong boleh pergi ke kawasan pelancongan dekat Betong dan juga boleh pergi ke Batang Ai,” ujarnya lagi.

Terdahulu, Ketua Menteri telah merasmikan Pejabat Baharu Pejabat Daerah Kecil Spaoh yang telah siap sepenuhnya dan meninjau ke kawasan projek cadangan pembinaan Riverfront. -EDISI UKAS

Share

add comment