Sarawak Peruntuk Lebih RM2 Juta Bagi Iktiraf SDGP Sebagai Geopark Kebangsaan

SABTU, 10 APRIL 2021

KUCHING: Kerajaan Sarawak telah meluluskan peruntukan lebih RM2 juta bagi persediaan kepada pengiktirafan Sarawak Delta Geopark (SDGP) sebagai Geopark Kebangsaan.

Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah Dan Alam Sekitar Sarawak, Datu Len Talif Salleh memberitahu, SDGP merupakan sebuah Geopark yang pertama dicadang dan telah diluluskan oleh kerajaan Sarawak pada November 2019.

“Akhirnya kita bakal menyaksikan perasmian SDGP dan bakal diangkat sebagai Geopark Kebangsaan.

“Seterusnya sebagai UNESCO Geopark Global pada tahun 2023,” katanya dalam majlis pelancaran SDGP di Dewan Lagenda, Kampung Budaya Sarawak, pada Jumaat.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pemandu Sarawak Delta Geopark menambah, inisiatif Geopark telah dilancarkan oleh UNESCO sebagai maklumbalas kepada keperluan di peringkat antarabangsa untuk mengiktiraf tapak-tapak yang mempunyai kepentingan nilai sains bumi.

“Geopark adalah bertujuan menyediakan mekanisme pembangunan untuk pembangunan wilayah secara bersepadu.

“Ia juga merangkumi pemeliharaan dan pemuliharaan warisan alam semulajadi, pembangunan ekonomi dan pembangunan komuniti berasaskan sumber warisan geologi yang berteraskan kepada empat unsur-unsur iaitu ekologi, arkeologi, sejarah dan budaya,” katanya.

Beliau juga berharap agar SDGP dapat berdiri setanding dengan Langkawi Geopark serta lain-lain di seluruh dunia. -EDISI UKAS

Share

add comment