ADUN Tasik Biru Tinjau Kawasan Kebun Nenas Milik Negren

AHAD, 11 APRIL 2021

BAU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tasik Biru, Dato Henry Harry Jinep turun padang melawat kawasan pertanian di kawasan Joring Kampung Segong pada Sabtu.

Menurut beliau, lawatan tersebut adalah untuk meninjau kawasan penanaman nenas yang telah diusahakan salah seorang pengusaha di situ iaitu Negren Ratep.

“Hari ini melawat saya ke kawasan pertanian untuk melihat apakah permasalahan yang dihadapi yang boleh dibantu oleh kerajaan dari segi pertanian, jalan raya, elektrik, air dan sebagainya,” katanya.

Selain itu, beliau menambah, lawatan itu untuk mengenalpasti keperluan penduduk yang pastinya akan mula membuka tanah untuk pertanian dan membina rumah di kawasan itu apabila jalan raya dibina kelak.

“Sebagai wakil rakyat saya bersama para kaunselor datang ke kawasan ini untuk melihat bagaimana bantuan yang boleh disampaikan kepada penduduk

“Kenapa perlunya kaunselor ikut sama adalah kerana apabila jalan di kawasan ini dibina ia akan diletakkan di bawah tanggungjawab majlis daerah supaya jalan dapat dinaiktaraf dan diselenggara.

“Tugas ketua kampung selepas ini adalah menulis kepada pihak Majlis Daerah Bau supaya jalan ini didaftarkan di bawah Majlis Daerah Bau agar jalan dapat diselenggara, rumput dipotong dan diturap,” tegasnya.

Justeru beliau menegaskan bahawa kerajaan di bawah Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan membantu rakyat untuk memajukan kawasan, namun ia akan dilakukan secara berperingkat-peringkat.

Sejurus selepas itu, Harry dan rombongan ketua kaum, kaunselor dan penduduk kampung meninjau lokasi kawasan yang akan dibina dengan jalan raya di bawah projek yang dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) menuju ke kawasan Kuong.-EDISI UKAS

Share
0