Datuk Zuraida Rasmi Balai Bomba Sibu Dan Bintangor

AHAD, 4 APRIL 2021

BINTANGOR: Pembinaan balai bomba di sesuatu kawasan merupakan satu keperluan utama dalam usaha memastikan sebarang insiden kecemasan dapat ditangani dengan lebih efektif dan responsif.

Sehubungan itu, Menteri Perumahan Dan Kerajaan Tempatan Malaysia, Datuk Zuraida Kamaruddin telah melakukan lawatan kerja merasmikan balai bomba yang baharu di Sibu dan Bintangor.

Dalam program itu, beliau memberitahu anggota bomba merupakan agensi utama yang bertanggungjawab dalam menangani sebarang situasi kecemasan dan perancangan kerajaan untuk membina lebih banyak balai bomba di seluruh negara.

“Sebanyak 120 buah Balai Bomba yang disasarkan dalam pembinaan di seluruh negara.

“Manakala Sarawak merupakan sebuah negeri yang besar dan mempunyai infrastruktur yang sangat mencabar dan harus membina balai bomba di tempat strategik” ujarnya dalam Majlis Perasmian Balai Bomba Dan Penyelamat Bintangor pada Sabtu.

Selain itu, beliau menambah penubuhan Bomba Sukarelawan perlu diperbanyakkan khususnya di kawasan luar bandar dan berharap pihak Bomba Bintangor dapat menyalurkan perkhidmatan yang terbaik kepada penduduk di situ.

Sejurus selesai program, rombongan beliau terus ke Julau bagi meninjau tapak pembinaan Balai Bomba Kelas E di Daerah Julau.

Hadir sama, Ketua Pengarah Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia, Dato’ Sri Mohammad Hamdan Wahid, Pengarah Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia Negeri Sarawak Khirudin Drahman@Hussaini,, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong Datuk Ding Kuong Hiing dan Pegawai Daerah Meradong, Badjuri Bidin.-EDISI UKAS