Penduduk Rumah Peter Minggat Terus Mendapat Sokongan ADUN Semop Bina Rumah Panjang Baharu

AHAD, 11 APRIL 2021

TANJUNG MANIS: Hasrat penduduk Rumah Peter Minggat, Jalan Sibu-Tanjung Manis mendiami rumah panjang baharu yang lebih selamat dan moden mendapat sokongan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semop, Abdullah Saidol.

Menurut Tuai Rumah Peter Minggat, terbaharu wakil rakyat mereka itu menyampaikan sumbangan berjumlah RM33,000 untuk projek gotong-royong menembok jalan di depan rumah panjang.

Beliau mewakili penduduk rumah panjangnya merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Abdullah Saidaol di atas sumbangan yang amat bermakna itu.

“Terima kasih kepada Abdullah Saidol kerana pada hari ini (Sabtu) beliau bukan sahaja melihat sendiri penduduk membina rumah panjang baharu malah beliau turut menyampaikan sumbangan.

“Sumbangan ini akan digunakan untuk membina jalan di depan rumah panjang,” katanya ketika ditemui Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), pada Sabtu.

Terdahulu, Abdullah Saidol yang juga Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Korporat dan UKAS) menyerahkan sumbangan tersebut kepada Tuai Rumah Peter Minggat.

Sementara itu, ketika dihubungi Tuai Rumah Peter berkata, Abdullah Saidol sebelum ini juga telah membantu mereka membina laluan ke rumah panjang dengan sumbangan sebanyak RM10,000.

Tambahnya, penduduk 20 pintu rumah panjang mereka amat berbesar hati dan merakamkan penghargaan kepada Abdullah Saidol yang juga akan memberi peruntukan untuk menambah laluan masuk ke rumah panjang.-EDISI UKAS

Share

add comment