Dana MRP RM15,000 Bantu Penduduk Kampung Lidah Tanah

ISNIN, 12 APRIL 2021

KUCHING: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kitang, Lo Khere Chiang telah melawat ke sebuah rumah daif di Kampung Lidah Tanah pada Ahad.

Tujuan lawatan adalah untuk meninjau masalah yang dihadapi oleh pemilik rumah itu.

Semasa lawatan tersebut, Lo Khere Chiang mendapati bahawa bumbung dan siling rumah di bahagian dapur sudah usang dan sering mengalami kebocoran ketika hujan.

Dalam pada itu, tuan rumah juga memberitahu pendapatan mereka hanya mencukupi untuk perbelanjaan seharian dan tidak mampu menampung kos membaiki rumah.

“Saya akan menggunakan peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) sebanyak RM15,000 untuk kerja-kerja membaik pulih rumah ini.

“Jika tidak mencukupi, maka saya akan usahakan penderma bagi menambah dana tersebut,” kata beliau yang juga Pengerusi Majlis Perbandaran Kota Padawan.

Sementara itu, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan (JKK) Kampung Lidah Tanah dan penduduk setempat amat berterima kasih kepada wakil rakyat mereka yang prihatin dengan keperluan rakyat. –EDISI UKAS

Share
0