Miri Model Bandar Pintar Pertama Di Sarawak, KM Sasar Smart Sarawak Menjelang 2030

ISNIN, 12 APRIL 2021

MIRI: Miri menjadi bandar raya pertama yang dijadikan model bandar pintar atau ‘Smart City’ di Sarawak.

Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, kerajaan negeri memilih Miri sebagai model bandar pintar kerana bandar raya berkenaan sudah mempunyai sistem jaringan maklumat yang pintar.

Menurut beliau, ia merupakan satu pendekatan pintar bagi melonjakkan pelbagai sektor berteraskan penggunaan teknologi dan ekonomi digital.

“Usaha ini merupakan satu pendekatan yang sangat baik, satu pendekatan yang akan menjadi model iaitu perkhidmatan pintar yang akan menjadikan Miri sebagai bandar pintar pertama di Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap Majlis Perasmian Miri Smart City di Hotel Imperial di Miri pada Isnin.

Hadir sama, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak, Dato Sri Dr. Sim Kui Hian, Menteri Pengangkutan Sarawak, Datuk Lee Kim Shin, Timbalan Speaker DUN Sarawak, Dato Gerawat Gala, Menteri Muda Wanita, Keluarga Dan Pembangunan Kanak-Kanak Sarawak, Datuk Rosey Yunus, Ahli Parlimen Sibuti, Lukanisman Awang Sauni, ADUN Lambir, Ripin Lamat, Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak, Datuk Amar Jaul Samion, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Transformasi Sosio Ekonomi), Dato Sri Mohamad Abu Bakar Marzuki, Datuk Bandar Miri, Adam Yii Siew Sang serta tetamu kehormat lain.

Dalam pada itu, Ketua Menteri menambah, pelaksanaan Miri Smart City Proof Of Concept (MSCP) adalah sejajar dengan Sarawak Digital Economy Strategy 2018-2022.

Jelasnya, di bawah Ekonomi Digital Sarawak, terdapat tujuh sektor utama termasuk Smart City telah diberi tumpuan dalam tindakan strategik yang memberi keutamaan kepada perkhidmatan kelas pertama kepada rakyat.

“Inisiatif yang kita laksanakan ialah supaya bandar-bandar besar ditransformasikan sebagai bandar pintar dan semua maklumat boleh diterokai dan diterima di hujung jari sahaja,” jelasnya.

Sementara itu, Ketua Menteri memberitahu, konsep bandar pintar berkenaan akan diperluaskan ke bandar-bandar utama di negeri dalam memacu usaha sebagai Smart Sarawak (SS) menjelang tahun 2030.

Menurutnya, konsep ini dimajukan dengan perkembangan teknologi yang membolehkan pelaksanaan lebih efisien bagi meningkatkan kecekapan pengurusan sesebuah bandar raya.

“Ini termasuk peralihan kaedah semasa ke dalam sistem digital seperti pengangkutan awam, pengurusan sisa, pengurusan trafik, keselamatan awam dan lain-lain lagi,” katanya.

Terdapat 10 objektif dalam program MSCP iaitu Miri Smart City, Smart Drain, Safe Park, Safe City, Digital Signages, Smart Bus, E-Local Authority2, Miri Cares, Smart Truck dan Miri Tourism.

Dalam majlis sama, beliau turut menyempurnakan simbolik perasmian ‘smart bus’ dan ‘smart truck’ dan menyerahkan replika cek kepada Miri Red Crescent  Dialysis dan Miri Tua Pek Kong Temple. -EDISI UKAS

Share
0