PKP Di Bahagian Bintulu Beri Kesan Besar Ke Atas Ekonomi, Laksana Langkah Aktif Untuk Mengekang Penularan COVID-19

ISNIN, 12 APRIL 2021

BINTULU: Ramai penduduk mahu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan di Bahagian Bintulu ekoran daripada peningkatan mendadak kes positif COVID-19. 

Bagaimanapun, menurut Ahli Parlimen Bintulu Dato Seri Tiong King Sing, pelaksanaan PKP ini memberi kesan besar kepada ekonomi dan ketika ini melaksanakan beberapa langkah aktif dalam mengekang penularan wabak pandemik COVID-19 ini. 

“Ramai yang mengharapkan PKP dilaksanakan di Bahagian Bintulu. 

“Sebanyak 80 peratus masyarakat mencadangan sedemikian, tetapi kita telah mengkaji sedalamnya kesan PKP terutamanya dari sudut ekonomi terutama sumber pendapatan bergaji hari. 

“Kita amat mengharapkan rakyat faham dan sama-sama melihat kebaikan dan keburukkan sekiranya PKP dilaksanakan. Jika tiada pilihan barulah kita adakan PKP di seluruh Bintulu,” katanya. 

Beliau berkata demikian semasa ditemui selepas mengadakan ke Pusat Pemberian Vaksin di Universiti Putra Malaysia (UPM) Kampus Bintulu pada Ahad. 

Seramai 870 orang petugas barisan hadapan telah melengkapkan suntikan vaksin dos kedua di Pusat Pemberian Vaksin, UPM Kampus Bintulu. 

Katanya lagi, kes positif COVID-19 meningkat di Bahagian Bintulu disebabkan ramai yang buat ujian calitan COVID-19 yang mana sebelum ini mereka tidak tahu diri mereka adalah positif COVID.

Sementara itu, dalam perkembangan yang sama, Dato Seri Tiong yang juga Duta Khas Perdana Menteri ke Republik Rakyat Cina menjelaskan operasi seperti pusat hiburan dan pusat karoke yang menyediakan makanan akan ditutup, manakala kedai yang menjual makanan hanya dibenarkan beroperasi sehingga jam 8.00 malam sahaja dan menyediakan perkhidmatan bawa pulang. 

“Kemungkinan langkah seterusnya adalah premis seperti hiburan  akan ditutup manakala kedai makan hanya dibenarkan beroperasi sehingga jam 8.00 malam. 

“Kedai-kedai menjual makanan hanya dibenarkan untuk tapau, penghantaran dan ‘drive thru’ dan kemungkinan dibuka sehingga jam 8.00 malam sahaja,” jelasnya. 

Dalam pada itu, aktiviti seperti berkelah, menyambut hari jadi, dan berkumpul di Pantai Tanjung Batu tidak dibenarkan sebaliknya hanya untuk aktiviti jogging sahaja. -EDISI UKAS